Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 7, 2016

[LIPIS] TUTUP TIGA BULAN, BERI LALUAN BAIK PULIH


Tutup tiga bulan, beri laluan baik pulih


Laluan berhampiran Taman Cahaya di sini, akan ditutup sementara bermula semalam hingga penghujung Julai ini bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan jalan.

Setiausaha Majlis Daerah Lipis (MDL), Mohd Pauzi Abu Hussaini berkata, penutupan jalan selama tiga bulan itu bertujuan untuk membaik pulih tanah runtuh dan mendap yang berlaku sejak Disember tahun lalu di kawasan berkenaan.

Menurutnya, ia juga bertujuan membaiki sistem saliran di kawasan tersebut seterusnya mengekang kejadian banjir kilat.

“Berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Tindakan Daerah pada 25 April lalu, hasil perbincangan mesyuarat bersetuju untuk menutup jalan berkenaan untuk kerja penyelenggaraan bermula hari ini (semalam).

“Susulan itu, kami menyediakan laluan alternatif iaitu melalui simpang Tempoyang, bagi pengguna jalan raya yang ingin ke bandar Lipis,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Pauzi berkata, berikutan kerja menaik taraf jalan tersebut, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan meletakkan papan tanda di sepanjang laluan alternatif sebagai panduan kepada pengguna bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Beliau berkata, pengguna kenderaan juga diminta bekerjasama bagi memastikan kerja membaik pulih laluan berjalan lancar.

“Semasa kerja penyelenggaraan dijalankan pihak JKR, laluan itu akan ditutup untuk semua jenis kenderaan.

“Kami faham kesulitan yang bakal dihadapi pengguna jalan raya, namun jika kerja membaik pulih dapat disiapkan lebih awal kami akan membuka laluan itu dengan segera,” katanya.


0 comments:

share2