Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 9, 2016

WANG TUNAI, BARANG KEMAS LEBUR


Wang tunai, barang kemas lebur


Kota Tinggi - Wang tunai dan barang kemas bernilai ribuan ringgit, antara yang lebur dalam kebakaran membabitkan sederet rumah dua tingkat empat pintu di Jalan Abdul Aziz, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, rumah kayu separuh kekal didiami 14 penghuni termasuk tiga keluarga Rohingya musnah keseluruhannya.

Salah seorang mangsa, Mohamad Mahmod, 28, berkata, dia ada menyimpan wang tunai RM6,000 dalam bilik untuk dikirim kepada ibunya di kampung.

Katanya, dia datang ke negara ini pada 2007 dan bekerja di sebuah restoran untuk membantu menyara keluarganya di Myanmar.

“Saya tinggal berdua bersama seorang lagi rakan, di sini. Wang yang saya kumpul tu untuk tampung perbelanjaan ibu yang menghidap sakit jantung, tambahan pula ibu tinggal bersama cucunya yang ramai.

“Ketika kejadian, saya tiada di rumah kerana bekerja. Saya terkejut mendapati rumah sewa musnah terbakar sebaik sampai dan yang menyedihkan, wang simpanan saya turut hangus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sangka kilang terbakar

Asiah Abdul Ghafur, 55, pula berkata, ketika kejadian dia bersama dua anaknya berada di bandar.

Menurutnya, dia yang menyimpan barang kemas bernilai RM8,000 di rumah tidak mampu menyelamatkannya.

“Dari bandar saya dapat lihat asap hitam. Ketika itu, saya sangka kilang berhampiran rumah sewa kami terbakar, sebaliknya tempat tinggal kami yang terbakar.

“Belum lagi hilang rasa sedih selepas kematian suami dua bulan lalu, kami sekeluarga terpaksa berdepan dengan ujian ini pula,” katanya.

Jiran mangsa, Mustafa Nor Ahmad, 34, berkata, kira-kira jam 4 petang semalam, ada jiran ternampak sekumpulan monyet bermain di wayar elektrik dekat rumah tersebut.

“Bomba bertindak pantas mengelakkan api daripada merebak ke kawasan rumah kami yang terletak betul-betul belakang rumah mangsa,” katanya yang bersyukur kerana rumahnya tidak terlibat dengan kejadian itu.

Angin kuat

Sementara itu, Ketua Cawangan Siasatan Kebakaran Zon Kota Tinggi, Firdaus Ahmad berkata, seramai 15 anggota bersama dua jentera segera ke lokasi selepas mendapat panggilan kira-kira jam 5.52 petang.

Menurutnya, keadaan angin kuat menyebabkan api sukar dipadamkan, selain keadaan struktur rumah kayu, namun bomba berjaya mengawal api kira-kira 50 minit kemudian.

“Ketika kejadian, sebuah jentera menerima panggilan kebakaran lalang berhampiran kawasan tersebut, namun apabila melihat kebakaran rumah yang berlaku, mereka segera ke lokasi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kami masih menjalankan siasatan untuk kenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian,” katanya.

Semua mangsa yang kehilangan tempat tinggal dibawa ke Pusat Tarbiah dan Musolla Rohingya Myanmar Muslim Daerah Kota Tinggi sebagai penempatan sementara.

Selain menerima bantuan barangan asas seperti selimut, tilam, tikar dan makanan keperluan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa turut menerima sumbangan daripada wakil Ahli Parlimen Tenggara.


0 comments:

share2