Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 14, 2016

TERPAKSA GUNA TIKAR, SELIMUT


Terpaksa guna tikar, selimut


Tepuh – Seorang pesakit obesiti yang mengalami sesak nafas dan sakit perut terpaksa menahan sakit kira-kira setengah jam sebelum dapat dibawa keluar anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu dari rumahnya di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, kelmarin.

Usaha membawa keluar mangsa, Mohamad Faisal Md Ali, 28, yang mempunyai berat badan kira-kira 250 kilogram, berdepan kesukaran berikutan keadaan pintu rumah yang agak sempit.

Bagaimanapun, dengan kepakaran lima anggota JPAM yang dibantu penduduk kampung, mangsa berjaya dipindahkan menggunakan tikar dan selimut.

Pegawai Pertahanan Daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1 petang daripada keluarga mangsa, yang memohon bantuan untuk memindahkan mangsa bagi mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Setibanya di lokasi, kita dapati mangsa sedang menahan kesakitan. Kita terpaksa membawa keluar mangsa dengan menggunakan selimut dan tikar bagi memudahkan usaha.

“Alhamdulillah, mangsa berjaya dibawa keluar walaupun terpaksa mengambil masa setengah jam sebelum dibawa ke hospital menggunakan lori tiga tan. Kita mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang turut membantu,” katanya.

Menurut Ahmad Kamal, JPAM sentiasa bersedia menghulurkan pelbagai bantuan kepada orang awam, bukan hanya tertumpu pada operasi menyelamat mangsa kemalangan dan menangkap haiwan berbisa semata-mata.

“Kebanyakan masyarakat menganggap JPAM sinonim dengan bantuan menyelamat mangsa kemalangan, lemas dan menangkap haiwan berbisa, sedangkan bantuan yang kita hulurkan adalah menyeluruh,” katanya.


0 comments:

share2