Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 11, 2016

SETUJU TINDAKAN TEGAS TAPI...


Setuju tindakan tegas tapi...


Seremban - Tindakan tegas sememangnya perlu dikenakan terhadap mana-mana pengendali makanan dan minuman yang menyebabkan keracunan makanan, tetapi tidak wajar jika memaksa mereka menghentikan operasi buat selama-lamanya.

Demikian pandangan Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus ketika mengulas perancangan Kementerian Kesihatan yang akan menyenarai hitam syarikat terlibat dan tidak dibenarkan beroperasi berkuat kuasa serta-merta.

“Saya setuju sangat dengan langkah kementerian. Lebih-lebih lagi terhadap pengendali yang membuat kesalahan kali kedua atau lebih. Tapi janganlah dipaksa pula tutup perniagaan sampai bilabila. Habislah periuk nasi mereka nanti.

“Seeloknya beri tempoh masa tertentu, misalnya dua minggu hingga sebulan. Ruang itu boleh digunakan untuk mereka perbetulkan segala kesilapan yang menyebabkan berlaku keracunan makanan,” katanya.

Paling penting, kata beliau, biarlah hukuman diterima setimpal dengan bentuk kesalahan dilakukannya dengan mengambil kira pelbagai aspek.

“Lagipun pengguna ada pilihan dalam hal ini. Kalau masih dibenarkan beroperasi sekalipun, pelanggan pasti akan menjauhi mereka ekoran rekod buruk dimiliki. Jadi tidak payah suruh pengendali atau syarikat terlibat tutup terus perniagaan.

"Sebagai contoh, pihak sekolah yang patut ambil tindakan apabila berlaku keracunan pada murid dan guru semasa makan di kantin. Antaranya, dengan cara menamatkan kontrak pengendali berkenaan. Senang kata, semua pihak mesti main peranan dan fokus pada langkah pencegahan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Sinar Harian melaporkan sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya memaklumkan, arahan menyenarai hitam syarikat atau pengendali makanan dan minuman itu dikeluarkan berikutan penularan kes keracunan makanan didapati semakin membimbangkan.

“Masalah keracunan makanan ini berlaku apabila pengurusan syarikat atau pengendali berkenaan gagal mematuhi Akta Makanan dan peraturan pengendalian yang ditetapkan,” katanya.


0 comments:

share2