Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 12, 2016

[ROMPIN] PARAS AIR EMPANGAN PONTIAN TERKAWAL


Paras air Empangan Pontian terkawal


Kuala Rompin - Cuaca panas tanpa hujan yang berterusan hingga Mei ini dijangka bakal memberi kesan kepada proses penanaman padi di jelapang Paya Sepayang dan bekalan air kepada penduduk sekitar.

Ia berikutan paras air di Empangan Pontian di sini, menunjukkan trend menurun berdasarkan bacaan terkini (semalam) pada paras 4.67 meter berbanding bacaan pada 24 Mac lalu, yang lebih tinggi iaitu 4.78 meter.

Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Rompin, Aizuddin Anuar berkata, walaupun paras air empangan menunjukkan trend menurun tetapi ia masih dalam keadaan terkawal kerana kadar penurunan tidak besar.

Bagaimana pun, beliau tidak menolak kemungkinan penurunan itu akan menjadi lebih banyak pada Mei ini kerana sejumlah besar air diperlukan untuk disalurkan bagi tujuan pengairan jelapang padi yang bakal bermula.

“Berdasarkan bacaan terkini, kami tidak melihat sebarang masalah walaupun ia menunjukkan trend menurun. Namun, ia kemungkinan akan memberi kesan pada Mei depan kerana bekalan air banyak diperlukan untuk pengairan padi di Paya Sepayang.

“Kalau cuaca panas berterusan tanpa hujan hingga Mei nanti, paras air empangan mungkin akan turun lebih banyak berbanding sekarang dan tidak mustahil boleh menjejaskan bekalan air kepada penduduk sekitar serta keupayaan menyalurkan air kepada jelapang padi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Empangan Pontian siap dibina pada 1985 yang boleh menampung paras air takungan maksima setinggi 7.00 meter dengan luas takungan 20 kilometer persegi dan luas kawasan tadahan 170 kilometer persegi.


0 comments:

share2