Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 12, 2016

[KUANTAN] PORT MAKSIAT, PELACURAN DIGEMPUR


Port maksiat, pelacuran digempur


Kira-kira 101 individu ditahan polis dalam Ops Noda Bersepadu yang dijalankan di sekitar Jalan Pasar di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, operasi selama tiga jam itu turut melibatkan Jabatan Imigresen.

Menurutnya, mereka yang ditahan melibatkan pelbagai bangsa iaitu Bangladesh, India, Myanmar dan Indonesia yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran di kawasan tumpuan tersebut.

“Hasil siasatan, seramai 57 ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan dokumen dan pas perjalanan di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen.

“Manakala polis menahan enam individu ditahan di bawah Akta Imigresen kerana dokumen perjalanan tamat tempoh,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pihaknya turut menahan dua warga tempatan berusia 40an kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah manakala dua lelaki ditahan dipercayai cuba melanggan pelacur.

Beliau berkata, operasi melibatkan kegiatan maksiat dan pelacuran di kawasan tumpuan sentiasa dijalankan secara berterusan.

“Selepas siasatan lanjut dilakukan, 34 individu dibebaskan,” katanya.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan untuk aktiviti persundalan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen perjalanan yang sah serta Seksyen 25 (1)(e) Akta Pendaftaran Negara 2001.


0 comments:

share2