Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 12, 2016

PENTERNAK IKAN RASA TERANCAM


Penternak ikan rasa terancam


Gua Musang - Kemarau berpanjangan kesan fenomena El Nino menyebabkan seorang penternak ikan di sini berasa bimbang kerana keadaan itu boleh memudaratkan hidupan air.

Mat Nawi Hussin, 56, memberitahu, keadaan tersebut menyebabkan air dalam kolam ternakan ikannya surut hampir dua kali ganda akibat kemarau yang melanda sejak tiga bulan lalu.

"Mengikut perkiraan harian, air kolam berisi ikan kelah, tilapia dan patin surut dua inci setiap hari dan sekiranya kemarau berpanjangan, ikan ternakan saya akan lebih terancam serta mati.

"Sejak dua bulan lalu, lebih 30 ikan patin dan tilapia mati akibat kekurangan air. Setakat ini kelah belum terancam kerana ia spesies lasak tetapi ia alah kepada gangguan sekiranya air cetek dan penjagaannya agak cerewet," katanya.

Menurutnya, sudah lebih sebulan dia tidak menjual kelah kerana kolam menempatkan ikan itu tidak boleh diusik dan dia terpaksa menolak permintaan pelanggan yang datang dari jauh demi menjaga lebih 4,500 kelah dalam kolam berkenaan.

Katanya, sekiranya dia menangkap 30 kelah untuk dijual, selebihnya akan mati dan bagi mengelakkan kerugian besar, dia mengambil keputusan untuk menghentikan penjualan ikan itu.

"Kemarau kali ini hampir sama dengan fenomena yang berlaku pada 1996 dan sekiranya berlanjutan dalam jangka masa panjang, saya bimbang ikan kelah akan mati dan saya hadapi kerugian besar.

"Bayangkan berapa banyak kerugian terpaksa ditanggung jika seekor kelah memiliki purata berat dua kilogram (kg) dengan harga pasaran RM180 sekilogram berbanding tilapia merah (RM13 sekilogram), tilapia hitam (RM10 sekilogram), patin (RM10 sekilogram) dan tongsan (RM15 sekilogram)," katanya.

Tambahnya, bagi memastikan kelah ternakannya tidak terancam, dia dan isteri terpaksa menggandakan penjagaan sehingga terpaksa bangun pada jam 2 pagi setiap hari untuk melihat keadaan ikan berkenaan dalam kolam.

"Selepas empat daripada lapan kolam ternakan ikan kering, saya perlu fikir jalan penyelesaian untuk memastikan ikan-ikan terjaga. Selepas merujuk kepada Jabatan Perikanan Malaysia, saya disarankan bina benteng saluran air.

"Benteng berkenaan dibina menggunakan modal sendiri dengan kos hampir RM30,000. Pembinaannya sedang berjalan dan dijangka siap pada bulan ini. Benteng tersebut sepanjang 48.8 meter dengan lebar dan tinggi 1.5 meter," jelasnya.

Mat Nawi berkata, sekiranya hujan, air akan memenuhi benteng saluran dan pintu akan dibuka bagi mengalirkan air ke dalam kolam dan ditutup semula setelah bekalan air mencukupi.

Menurutnya, ia merupakan ikhtiar bagi menyelamatkan sebanyak 4,500 patin, 5,000 tilapia dan 8,500 anak kelah.


0 comments:

share2