Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 12, 2016

TAK PERNAH SERIK BERKHALWAT


khalwat


Kuala Terengganu - Tidak serik, meskipun sebelum ini pernah dua kali ditahan dan dikenakan hukuman kerana kesalahan berkhalwat, seorang wanita didapati masih mengulangi kesalahan sama apabila dicekup bersama seorang lelaki dipercayai kekasihnya, dalam sebuah bilik, pada September tahun lalu.

Natijah kesalahan itu, tertuduh berusia 20 tahun dan bekerja sebagai jurujual dikenakan denda RM2,700 dan enam bulan penjara selepas mengaku salah berkhalwat di mahkamah rendah syariah, di sini, semalam.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh yang masih bujang itu turut berdepan hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Tertuduh kali pertama ditahan berkhalwat pada 2013 dan mengulangi kesalahan sama pada 2014 yang mana ketika itu tertuduh diarahkan menjalani hukuman selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Selangor.

Bagaimanapun, pasangannya berusia 19 tahun dan masih bujang gagal hadir sebelum mahkamah keluarkan satu waran tangkap kepadanya.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di dalam sebuah bilik di Jalan Kamaruddin, di sini, jam 1.10 petang, pada 18 September 2015.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa syariah daerah bersama polis melakukan satu pemeriksaan ke atas sebuah bilik di Jalan Kamaruddin, di sini, selepas menerima maklumat.

Sebaik tiba di bilik berkenaan, pintu tertutup rapat sebelum anggota mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali.

Bagaimanapun, selepas hampir lima minit, pintu masih belum dibuka sebelum anggota bertindak menendang pintu bilik.

Sejurus pintu berjaya dibuka, anggota terlihat seorang lelaki dan wanita sedang berdiri berhampiran katil dan pemeriksaan mendapati tiada orang lain berada dalam bilik berkenaan.

Hasil soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.


0 comments:

share2