Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 7, 2016

[KUANTAN] NASIB TERUS DAPAT PERHATIAN


Nasib terus dapat perhatian


Nasib bekas pemain kebangsaan dan Pahang, Muhammad Asyraf Anbalagan Abdullah, 49, terus mendapat perhatian apabila beliau dikunjungi ahli-ahli Members FC yang turut menghulurkan sumbangan wang tunai di rumahnya di Lorong Bukit Setongkol Jaya 27 di sini, semalam.

Antara yang hadir, bekas pemain Pahang pada 70, 80 dan 90-an, Rashid Jaafar, Shukor Ibrahim, Tarmizi Tahar selain ahli kelab itu.

Wakil kelab, Nisahafuddin Ahmad berkata, sumbangan itu hasil kutipan menerusi perlawanan persahabatan menentang kelab Rocket FC yang turut disertai pelakon,Fahrin Ahmad dan Fizz Fairuz di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, selain sumbangan ketika perlawanan tersebut, ia juga hasil derma daripada individu-individu lain yang prihatin dengan nasib bekas pemain tersebut.

“Ini tanda keprihatinan kelab untuk membantu beliau (Asyraf) kerana ia juga bekas rakan seperjuangan dan kita turut bersimpati dengan keadaan dirinya yang tidak seperti biasa sebelum ini,” katanya.

Muhammad Asyraf diserang angin ahmar sejak Januari tahun lalu ketika memandu kereta meyebabkan pemain kelahiran Jerantut itu lumpuh separuh badan pada peringkat awal selain hilang pertuturan.

Bagaimanapun, selepas menjalani fisioterapi, bekas penyerang era 80-90 an itu sudah boleh berdiri menggunakan tongkat tetapi tangan kanannya masih tidak boleh digunakan.

Beliau kini perlu menjalani rawatan fisioterapi dan terapi pertuturan.

Muhammad Asyraf terkenal dengan aksi geleceknya dan antara pemain skuad emas negara yang membantu Malaysia merangkul pingat emas di temasya Sukan Sea, Kuala Lumpur pada 1989.

Bekas penyerang kebangsaan itu juga pernah beraksi menentang kelab terkenal Liga Inggeris, Everton dalam aksi perlawanan persahabatan sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirainya.

Beliau pernah bergandingan bersama bintang dan pengendali Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Yunus Aliff, Fandi Ahmad, V Sundramorty dan penyerang dari Thailand Ronnchai Sayomchai dan Piya Pong Peun dalam skuad Pahang (1985-1992).

Kali terakhir, Muhammad Asyraf menyarung jersi Negeri Sembilan (1993) sebelum menggantung but sepenuhnya akibat kecederaan lutut setahun kemudian.

Dalam pada itu, Nisahafuddin berkata, Mmebers FC yang dinaungi Tengku Muhammad Sultan Abu Bakar bakal mengadakan satu perlawanan amal di Stadium Darul Makmur, di sini pada 24 April ini.

“Perlawanan amal ini antara usaha kelab untuk mencari dana dan kutipan untuk membantu bekas-bekas pemain Pahang yang kurang bernasib baik bagi meringankan beban mereka,” katanya.


0 comments:

share2