Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 6, 2016

KECEDERAAN PENJAGA GOL DIPANAH PETIR SERIUS


Kecederaan penjaga gol dipanah petir serius


Bandaraya Melaka - Penjaga gol naturalisasi Melaka United yang parah ‎ disambar petir petang semalam dilaporkan ‎ masih berada dalam keadaan serius tetapi stabil selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.05 ‎petang itu, Stefan Marco Petrovski, 18, parah manakala seorang lagi pemain, Muhamad Afiq Azuan, 21, turut cedera terkena panahan petir berkenaan.

Difahamkan Petrovski yang ‎sebelum ini pernah diturunkan sebagai penjaga gol kedua Melaka United ketika menentang Negeri Sembilan, sedang menjalani latihan bersama skuad Piala Presiden Melaka United di Padang 10 di Kompleks Sukan Krubong ketika itu.

Menurut Pengurus Pasukan Piala Presiden, Khairi Anuar Ahmad, jurulatih telah mengarahkan pemain memberhentikan latihan kira-kira pada jam 5 petang apabila hujan lebat secara tiba-tiba turun.

Menurutnya, ketika pemain hendak ‎meninggalkan padang, kilat dan dentuman guruh pertama mula berlaku berhampiran kumpulan beberapa pemain pertahanan, fisioterapis dan jurulatih penjaga gol yang sedang berada berhampiran kawasan tiang gol.

"Yang paling hampir kepada kilat ‎itu adalah Stefan (Petrovski) dan Afiq. Semuanya terjadi dengan sekelip mata dalam pada mereka mahu meninggalkan padang atas arahan jurulatih," katanya di sini ‎hari ini.

Menurut Khairi Anuar, walaupun ‎terkena pancaran kilat berkenaan, fisioterapis yang turut berada di tempat kejadian terpaksa menguatkan diri membantu Petrovski apabila beliau didapati tidak sedarkan diri.

Menurutnya, bantuan pernafasan ‎mulut ke mulut (CPR) terus diberikan kepada Petrovski sebelum beliau dikejarkan ke Hospital Melaka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Seri Idris Haron berkata, ibu bapa serta keluarga Petrovski sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, pihak MUSA juga telah menyediakan tiket penerbangan untuk keluarga beliau datang dari Australia dan Portugal dengan secepat mungkin.

"Buat masa ini, kita masih menanti laporan terkini mengenai Petrovski. Saya meminta semoga semua berdoa yang Stefan akan memiliki kekuatan untuk mengharungi dugaan ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan Melaka United menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat malam semalam.

Idris yang diiringi isterinya, Datin Seri Fadilah Abdullah kemudiannya turut meluangkan masa melawat Petrovski dan Muhammad Afiq di Hospital Melaka.


0 comments:

share2