Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 11, 2016

‘HANYA SALAH FAHAM'


‘Hanya salah faham’


Johor Bahru – Bekas Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor dibebaskan oleh mahkamah sesyen, di sini semalam atas tuduhan mencuri sumbu badak milik Muzium Diraja Johor pada Oktober lalu.

Hakim, Sabariah Atan membuat keputusan itu selepas Ketua Unit Pendakwaan, Saiful Edris Zainuddin memohon mahkamah menarik balik kes itu terhadap Yusoff Shariff, 47.

Dalam prosiding, Saiful memohon kepada mahkamah untuk menarik balik kes atas alasan mendapat arahan membatalkan kes berkenaan.

Peguam, Datuk Hanif Hassan yang hadir mewakili Yusoff turut memohon mahkamah membatalkan kes serta melepas dan membebaskan anak guamnya.

Sabariah memutuskan kes berkenaan dibatalkan dan memerintahkan wang jaminan RM5,000 yang dikenakan ke atas tertuduh dikembalikan.

Pada 28 Disember lalu, Yusoff mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke mahkamah sama atas dakwaan mengambil sumbu badak yang disimpan di bahagian hadapan Muzium Diraja Johor, Bangunan Sultan Ibrahim tanpa kebenaran sah pada 19 Oktober tahun lalu.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di Balai Polis Johor Jaya setiap bulan.

Pada 31 Mac, pihak pembelaan menghantar representasi kepada pihak pendakwaan bagi rayuan membatalkan kes itu.

Yusoff yang kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Ex-Situ Ibu Pejabat Perhilitan Cheras, bersyukur atas pembebasannya dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepadanya.

“Saya bersyukur kepada ALLAH kerana dibebaskan. Saya hanya menjalankan tugas saya, apa yang berlaku hanyalah salah faham.

“Selepas ini saya akan meneruskan tugas seperti biasa sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Ex-Situ di Ibu Pejabat Perhilitan Cheras selepas ditukarkan ke sana mulai 4 Januari tahun ini,” katanya.

Yusoff turut ditemani ibu, Maisarah Silong, 84, bersama isteri, Nafizah Abd Hadi, 43, serta anak-anak mereka ketika prosiding berlangsung semalam.


0 comments:

share2