Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 3, 2016

TEORI HARGA MINYAK PENENTU HARGA BARANG MELESET


Dr Noor Azmi


Bagan Serai - Kegagalan peniaga menurunkan harga barang meskipun harga runcit bahan api turun membuktikan teori harga bahan api penentu harga barang dikemukakan pembangkang tidak benar dan meleset.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, teori retorik 'harga barang naik sebab harga minyak naik' dilaung-laungkan pemimpin parti pembangkang terutama Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ternyata tidak berasas kerana rakyat masih berdepan kos harga barang tinggi meskipun harga bahan api beberapa kali diturunkan kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, Rafizi dan pemimpin parti pembangkang lain perlu berhenti mengelirukan rakyat dengan menyebarkan pelbagai dakyah berkenaan polisi kerajaan kerana kebenaran akhirnya akan terungkai.

"Dalam kenyataan saya dahulu, saya pernah nyatakan harga minyak bukan penentu harga barang, sebaliknya sikap segelintir pemborong dan peniaga memanipulasi harga barang menjadi punca sebenar kenaikan.

"Kini, kenyataan saya terbukti benar dan saya berharap pembangkang berhenti daripada terus mengeluarkan kenyataan memburukkan imej kerajaan kepada rakyat,"katanya kepada media pada majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M) di sini semalam.

Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Daerah Kerian, Azhar Alias.

Dr Noor Azmi berkata, dalam mengatasi masalah kenaikan harga barang, pemborong dan peniaga seharusnya mengambil sikap lebih bertanggungjawab dan prihatin dalam memastikan keuntungan diambil tidak melampau.

Menurutnya, pihak kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) perlu memantau lebih ketat dan mengambil tindakan penguatkuasaan kepada peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang.

"Saya juga ingin menasihatkan rakyat agar sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah dan 'ukur baju di badan sendiri'.

"Dalam keadaan ekonomi lembap ketika ini, bukan masanya untuk kita hidup bermewah, sebaliknya ambil inisiatif ceburi bidang pertanian kecil-kecilan di rumah sendiri untuk keperluan harian,"katanya.


0 comments:

share2