Johor Bahru - Johor mencatatkan peningkatan jumlah bilangan calon lulus penuh bagi kelulusan peringkat prinsipal pada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015.
Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Aminudin Adam berkata, jumlah bilangan calon lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran meningkat 0.12 peratus, daripada 4.790 calon untuk tahun 2014 kepada 4,866 calon pada tahun lalu.
Menurutnya, sebanyak 60 sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus daripada 88 sekolah di negeri ini.
“Seramai 200 calon lulus penuh lima mata pelajaran, calon lulus penuh empat mata pelajaran (3,512), calon lulus penuh tiga mata pelajaran (629), calon lulus penuh dua mata pelajaran (325) dan calon lulus penuh satu mata pelajaran (200).
“Jumlah calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat 5.08 peratus iaitu 3,434 calon pada tahun 2014 kepada 3,712 calon untuk tahun lalu,” katanya pada pengumuman keputusan STPM 2015, di sini semalam.
Aminudin berkata, Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Johor bagi peperiksaan STPM 2015 juga mencatatkan peningkatan 0.06 mata iaitu 2.76 mata bagi tahun lepas, berbanding 2.70 mata untuk tahun 2014.
“Pencapaian calon STPM Johor masih mengatasi pencapaian calon STPM peringkat kebangsaan iaitu 2.65 mata,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 18 mata pelajaran mencapai peratusan melebihi lima peratus bagi gred A iaitu Computing, Bahasa Cina, Sains Sukan, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu, Ekonomi, Mathematics T, Seni Visual, Physics, Sejarah, Geografi, Mathematics S, Bahasa Arab, Pengajian Am, Syariah, Chemistry, Pengajian Perniagaan dan Biology.
Selain itu, Aminudin berkata, seramai 50 calon mendapat PNGK 4.00 berbanding 43 calon pada tahun 2014.
“Daripada jumlah ini, 29 orang merupakan calon aliran sastera dan 21 calon aliran sains.
“Sebanyak 24 sekolah menghasilkan calon cemerlang STPM 2015 antaranya SMK Sultan Ibrahim (Kulai), SMK Tinggi Batu Pahat (Batu Pahat), SMK Seri Bandar Pontian (Pontian), SMK Dato’ Sri Amar DiRaja (Muar), SMK Tasek Utara (Johor Bahru) dan SMK Tinggi Kluang (Kluang),” katanya.
Beliau juga mengumumkan empat calon STPM Johor yang dipilih menerima anugerah calon cemerlang peringkat kebangsaan iaitu Tan Wee Sin dari SMK Munsyi Sulaiman (Batu Pahat), Syamimi Sharifudin dari SMK Tunku Putra (Batu Pahat), Ooi Tzu Chia dari SMK Dato’ Penggawa Timur (Pasir Gudang) dan Chai Chin Chiet dari SMK Seri Bandar Pontian (Pontian).
Selain itu, turut diumumkan dua sekolah di Johor yang telah menerima anugerah peringkat kebangsaan iaitu SMK Tun Dr Ismail (Muar) dan SMK (P) Sultan Abu Bakar (Muar).
“Jurang antara prestasi calon bandar dan calon luar bandar juga semakin meningkat. Malah prestasi calon luar bandar lebih baik daripada calon bandar bagi calon lulus penuh sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran dan Min PNGK.
“Pada tahun 2015, prestasi keseluruhan sekolah kerajaan meningkat berbanding tahun 2014. Sebanyak 50 sekolah meningkat Min PNGK (Gred Purata Sekolah) antara 0.01 mata hingga 0.56 mata.
“Selain itu, sebanyak 14 sekolah mencapai Min PNGK melebihi 3.00 mata gred,” katanya.
Bagi STPM 2015, seramai 5,277 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan di negeri ini, dan sebanyak 20 mata pelajaran didaftarkan bagi calon di Johor.
0 comments:
Post a Comment