Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 30, 2016

[BERA] MUSNAHKAN LAPAN SARANG DADAH


Musnahkan lapan sarang dadah


Sebanyak lapan sarang penagihan dadah di kawasan ladang di tanah rancangan ini dimusnahkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bera, sejak tahun lalu.

Usaha itu akan diteruskan bagi mengurangkan jumlah penagih dadah di daerah ini.

Ketua Pegawai AADK Bera, Azmi Awang berkata, aktiviti mencari dan memusnahkan sarang penagihan itu dilaksanakan bersama pengurusan Pejabat Felda Purun dan Pejabat Kesihatan Daerah Bera menerusi Program My Beautiful Malaysia.

Menurutnya, sebelum membersihkan lokasi terbabit, risikan awal dilakukan bagi mengenal pasti sarang penagihan dadah yang masih aktif.

“Ini pendekatan terbaru AADK selain menangkap penagih dadah dalam operasi rutin. Kalau kami tangkap penagih tapi ‘port’ mereka masih ada ia mungkin tidak berkesan sebab aktiviti tidak sihat itu masih boleh dilakukan.

“Kami akan melakukan pemusnahan sarang penagihan dadah secara berterusan supaya mana-mana ‘port’ baharu juga dapat dibersihkan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, melalui usaha tersebut, gejala negatif itu dapat dikekang sekali gus membersihkan imej Felda Purun yang mencatatkan jumlah penagih tertinggi dalam kawasan tanah rancangan di daerah ini.

Sementara itu, Pengurus Rancangan Zon Bera/Mendi, Azemim Mamat berkata, pihaknya sedia memberikan kerjasama kepada AADK bagi memastikan penagih dadah di kawasannya dapat dikurangkan.

“Selain itu, kami juga mahu mengekang pengaruh dadah kepada penduduk khususnya dalam kalangan belia kerana mereka yang berumur antara 21 hingga 40 tahun, paling ramai menagih dadah.

“Mereka ini adalah pelapis pemimpin negara, penglibatan mereka dalam penagihan dadah akan merugikan banyak pihak termasuk negara, lebih-lebih lagi ada di antara mereka adalah penagih berulang,” katanya.

Beliau berkata, program itu akan dijalankan lagi pada bulan hadapan dan pihaknya akan terus melakukan risikan untuk mencari sarang penagihan dadah baharu di dalam kawasan kebun sawit, di sini.


0 comments:

share2