MANA mungkin kita dapat melupakan tragedi runtuhan Blok A Kondominium Highland Tower yang menggemparkan negara pada 11 Disember 1993.
Walaupun insiden itu sudah 23 tahun berlalu, ianya kekal jadi sejarah yang terlipat segar dalam ingatan setiap penduduk Malaysia apabila kes berkenaan menggemparkan seluruh negara.
Bagi yang mengikuti perkembangan kes tersebut, antara yang diingati pastilah seorang bayi yang berjaya diselamatkan anggota bomba yang bekerja keras ketika kejadian mencari mangsa yang masih hidup.
Kisah tersebut kembali dibongkar apabila bayi terbabit memuat naik gambar dirinya yang terpapar dalam laporan akhbar ketika itu di Facebook miliknya lalu dikongsikan Bomba di page Facebook mereka.
Sejak itu usaha mencari bayi tersebut yang kini sudah dewasa dan berada di Indonesia giat dilakukan hinggalah ianya menjadi kenyataan, hari ini.
Bayi tersebut dan ibunya akhirnya dipertemukan dengan hero yang menyelamatkan mereka ketika tragedi itu, dalam satu sesi pertemuan yang disiarkan secara langsung menerusi Berita TV9 tengah hari tadi.
Nur Hamidah Nadjib, 23, dan ibunya Umi Rasyidah Khoiruman, 43, akhirnya dipertemukan dengan salah seorang individu yang menyelamatkan mereka ketika kejadian iaitu bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan di Sri Pentas, hari ini.
Hamidah yang baharu berusia setahun serta ibunya terperangkap dalam runtuhan sebelum ditemui dan diselamatkan anggota keselamatan.
Suasana sebak dan pilu menyelubungi studio di mana Umi tidak putus-putus menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Zaman, anggota keselamatan yang terlibat serta kerajaan Malaysia yang banyak membantu ketika tragedi.
“Hanya ucapan terima kasih dan doa supaya semua diberkati Allah SWT mampu diucapkan atas kebaikan mereka,” luah Umi ketika ditanya pemberita.
Hamidah pula dilihat teresak-esak menangis sebaik menerima bingkai gambar yang memaparkan dirinya diselamatkan Zaman, selain berterima kasih atas pertemuan tersebut.
Sementara itu, Zaman bersyukur dan gembira dengan pertemuan berkenaan memandangkan beliau sudah lama berusaha menjejaki kedua-dua individu tersebut.
“Saya dah usaha untuk bertemu dengan mereka sejak dulu lagi.. kini baru diizinkan Allah.
“Saya harap pertemuan ini akan jadi titik permulaan kepada hubungan yang sudah terjalin secara tidak langsung dalam tragedi 23 tahun lalu,” ujar beliau yang juga tidak dapat menahan sebak sebaik dipertemukan semula dengan ‘bayi’ dan ibu yang diselamatkannya itu.
Selepas ini Hamidah dan Umi dijadualkan bakal dipertemukan dengan anggota dan pegawai bomba termasuk Penguasa Kanan Bomba II, Norizan Saad yang turut terbabit secara langsung dalam operasi menyelamat 23 tahun lalu.
saya yang melihat dalam TV pertemuan itu pun merasa sebak , inilah kuasa Tuhan , sungguh indah hidup ini seandainya kita saling berkasih sayang sesama umat, hidup ini terlalu singkat untuk kita membuat jahat , hidup ini terlalu indah andai kita berbuat baik pada orang lain ..