Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 30, 2015

PR1MA: HATI-HATI, JANGAN SAMPAI TERPEDAYA


PR1MA


Parit Buntar - Orang ramai di sekitar Parlimen Parit Buntar diingatkan agar tidak terpedaya ketika membuat permohonan pembelian Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) berikutan dakwaan terdapat sindiket yang meminta wang pendahuluan RM2,000 untuk membeli rumah tersebut.

Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, beliau terima beberapa mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon sejak malam tadi daripada individu tidak dikenali berhubung perkara itu.

"Mereka menghubungi saya untuk mendapatkan kesahihan sama ada benar bayaran sebanyak RM2,000 dikenakan kepada yang ingin membeli rumah PR1MA. Perkara ini amat mengejutkan kerana nama saya turut dikaitkan dengan permohonan tersebut.

"Sedangkan permohonan itu perlu dilakukan secara online sahaja tanpa sebarang bayaran dikenakan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu turut mendakwa bayaran tersebut meliputi kos guaman selain akan dimasukkan ke tabung Barisan Nasional sebagai persediaan menjelang pilihan raya akan datang.

Sebanyak 1,248 unit rumah mampu milik terbabit dibina di Jalan Siakap, Kuala Kurau dekat sini dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

Sham berkata Umno Bahagian Bagan Serai turut didakwa memiliki sebahagian kuota rumah mampu milik itu sedangkan semua permohonan dikendali oleh Perbadanan PR1MA Malaysia.

"Saya ingin memaklumkan, kami tidak mempunyai sebarang kuota seperti yang didakwa. Saya amat kesal dengan pihak yang tidak bertanggungjawab itu yang mengatakan Umno Bahagian mengutip duit RM2,000 untuk setiap permohonan rumah PR1MA.

"Sebenarnnya perkara ini tidak timbul dan saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan. Oleh itu, saya menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan mereka perlu merujuk kepada Pusat Aduan dan Khidmat Umno Bahagian Bagan Serai sekiranya didatangi sindiket berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, satu laporan berhubung perkara berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini.

0 comments:

share2