Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 30, 2015

SPRM TINGKAT USAHA KESAN RASUAH PUSAT HIBURAN


Simi Abdul Ghani


Shah Alam – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor meningkatkan usaha bagi memantau kemungkinan wujudnya unsur rasuah atau usaha memberi sogokan yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan pusat-pusat hiburan dan aktiviti tidak sihat.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Simi Abdul Ghani berkata, pelbagai pendekatan diambil untuk mendapatkan maklumat berkenaan dengan perbuatan meminta dan memberi sogokan bagi memastikan urusan pihak penguatkuasa bebas rasuah.

“Ada kemungkinan pegawai-pegawai penguat kuasa meminta dan ada kalanya pihak-pihak tertentu yang cuba memberi rasuah kepada penguat kuasa. Justeru, SPRM Selangor memantau kedua-dua peringkat.

“Kami ada terima maklumat dari semasa ke semasa dan akan bertindak dengan pelbagai kaedah bagi mencari kebenaran dalam aduan atau maklumat yang diterima,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Online.

Sehubungan itu katanya, SPRM Selangor juga bekerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa dalam perkara ini selaras dengan pendekatan Merakyatkan SPRM.

Pada April lalu, 9 agensi kerajaan negeri Selangor telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) sebagai salah satu inisiatif organisasi menyokong usaha pencegahan rasuah.

Agensi yang menandatangani CIP kali ini melibatkan usahasama dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Sepang.

Minggu lalu, Ibu Pejabat SPRM telah menahan 17 orang termasuk seorang orang awam berkaitan pengeluaran lesen pusat kesihatan secara tidak sah.

Pagi tadi, tiga anggota polis dari Balai Polis Klang Selatan termasuk seorang wanita yang berpangkat Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima suapan RM12,000 daripada seorang ahli perniagaan bagi melepaskan enam rakyat China daripada tahanan polis, empat bulan lepas.

0 comments:

share2