Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 20, 2015

LELAKI LUMPUH PERLU BANTUAN


Lelaki lumpuh perlu bantuan


Gua Musang - Seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap tahun 1997 terlantar di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, dekat sini, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, dua tahun lalu.

Berikutan kejadian itu, Mohd Azizi Abas, 35, lumpuh dan tidak mampu lagi bekerja.

Bagaimanapun, nasibnya itu mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang bersama kelab alumni sekolah terbabit kelmarin.

Pegawai JKM daerah, Hizani Ibrahim berkata, bantuan dihulurkan sejurus mengetahui peristiwa malang yang menimpa Mohd Azizi daripada bekas rakan sekolah mangsa yang bersimpati dengan keadaannya yang tidak lagi boleh bercakap dan lumpuh seluruh badan.

Menurutnya, pada tahun 2012, kenderaan yang dipandu Mohd Azizi hilang kawalan lalu merempuh tempat pembuangan sampah menyebabkannya alami kecacatan fizikal apabila tidak upaya untuk bergerak dan bercakap.

“Sebelum ini mangsa yang bekerja di Rumah Kebajikan Orang Tua di Triang, Pahang pernah mendapat bantuan daripada JKM, namun setelah dia pulang ke Kelantan sejak setahun lalu, dia tidak mendapat bantuan berkenaan.

“Mohd Azizi dijaga sepenuhnya oleh ibunya, Fatimah Sulaiman, 66, dan seorang adik lelakinya dan hanya mengharapkan ihsan ahli keluarga bagi menguruskan kehidupannya.

“Setelah pihak kami lakukan siasatan, Mohd Azizi layak terima bantuan segera RM300, barangan keperluan harian dan bantuan bulanan RM300,” katanya.

Sementara itu, jurucakap kelab alumni SMK Sungai Asap berkata, pihaknya melalui kelab alumni bertanggungjawab untuk membantu setelah mengetahui keadaan Mohd Azizi lumpuh dan tinggal bersama keluarganya di RKT Kesedar itu.

Katanya, kelab alumni itu ditubuhkan untuk beri manfaat kepada kepada rakan dan bukanlah sekadar berjumpa semula selepas berpisah.

“Selepas lapan tahun tidak bertemu, kami tidak menyangka seorang bekas rakan sekolah kami jadi OKU setelah terlibat kemalangan. Sebelum pulang ke kampung ini, Mohd Azizi pernah tinggal di rumah kakaknya di Kampung Manek Urai, Kuala Krai.

“Sudah lama kami mencari Mohd Azizi dan kami akan menceriakan kembali dia dan keluarganya. Rumah mereka juga terjejas dengan banjir dan amat memerlukan bantuan orang ramai. Sesiapa yang mahu membantu Mohd Azizi boleh menghubungi adiknya, Azizul 013-6244526,” katanya.

0 comments:

share2