Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 23, 2015

[KUANTAN] PATUHI SOP JIKA MAHU LESEN LULUS


Patuhi SOP jika mahu lesen lulus


Pengusaha bauksit digesa agar mematuhi syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, sekiranya mahu permohonan lesen operasi bauksit diluluskan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh, Datuk Abd Wahid Abd Manap berkata itu adalah antara syarat yang ditetapkan oleh kerajaan dalam menangani isu pencemaran akibat aktiviti perlombongan bahan mineral itu.

“Pihak kerajaan sebenarnya memantau apa sahaja yang dijalankan oleh pihak pengusaha dan sekiranya pengusaha mematuhi SOP, saya percaya kerajaan akan meluluskan lesen operasi kepada pengusaha.

“Jadi, semua syarat yang ditetapkan itu perlu diikuti dengan sebaiknya oleh pengusaha demi mendapatkan permit sah yang mereka pohon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama pengurusan Felda Bukit Goh, pengusaha lombong dan lori di Felda Bukit Goh di sini, semalam.

Katanya, sekiranya pengusaha gagal mematuhi syarat dan SOP yang ditetapkan itu, kemungkinan besar permohonan mereka untuk mendapatkan lesen tidak diluluskan oleh kerajaan.

“Masih ada di antara pengusaha tidak mematuhi syarat berkenaan antaranya tidak mematuhi jadual operasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan, selain tidak menjaga membersihkan lori yang mengangkut bauksit selepas hari lombong.

“Perkara sebegini masih dilakukan oleh kepada dua atau tiga pengusaha bauksit dan sikap sedemikian akan mengundang menimbulkan masalah kepada masyarakat setempat,” katanya.

Abd Wahid memaklumkan pengusaha lori sepatutnya menjalankan operasi selepas jam 8.30 pagi bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memberhentikan operasi pada waktu tengah hari sebelum memulakan jam 2 petang.

“Ini arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaacob , selain meminta tayar lori dibersihkan dan bahan mineral itu perlu diletakkan penutup agar debu tidak berterbangan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pemantauan itu terhadap pengusaha bauksit di Bukit Goh ini akan dipantau bersama pengurusan Felda Bukit Goh bagi memudahkan maklumat berhubung syarat dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dipatuhi sebaiknya.

Menurutnya, pengusaha bauksit bukan sahaja perlu patuhi peraturan ditetapkan oleh kerajaan tetapi sebarang bentuk peraturan oleh pengurusan Felda Bukit Goh patut dipatuhi.

“Kita akan menampal poster agar pengusaha dapat mengikuti peraturan dan SOP Felda dan jika pengusaha enggan mematuhinya pengurusan Felda berhak menutup laluan agar operasi berkenaan dihentikan.

“Namun setakat ini, kebanyakan mereka mengikut syarat dan SOP kerajaan,” katanya.

Bagi, Pengurus Felda Bukit Goh, Hamir Husin Ismail meminta agar pengusaha bauksit yang ingin menjalankan perlombongan di kawasan tanah peneroka perlu mendepositkan sejumlah RM40,000 kepada Felda.

Katanya, wang pendahuluan itu diperlukan bagi membolehkan projek penanaman semula dilakukan selepas bahan berkenaan selesai digunakan oleh pelombong.

“Ini syarat yang Felda tetapkan bagi membolehkan program penanaman semula sawit dilakukan selepas pengusaha lombong meratakan kawasan yang terokainya selain memulihkan tanah tersebut.

“Kalau mereka tidak patuhi syarat itu ia akan mendatangkan masalah kepada peneroka untuk menanam semula sawit di tanah mereka,” katanya.

0 comments:

share2