Ahli Umno perlu melakukan gelombang luar biasa dalam menyatakan sokongan dan mempertahankan pemimpin parti keramat itu ketika dicemuh dan berdepan pelbagai tohmahan.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, semua ahli Umno perlu berdiri di belakang kepimpinan parti agar Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terus kuat menghadapi cabaran politik hari ini.
Menurutnya, bangsa Melayu perlu mempertahankan Umno yang memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara.
“Perjuangan ini tiada makna jika ahli Umno tidak memberi sokongan padu. Kita berkumpul dalam mesyuarat ini bagi muhasabah diri, mendapat suntikan semangat untuk berjuang demi parti keramat ini.
“Tidak ada parti lain selain Umno yang dapat membantu dan membela nasib bangsa Melayu,” katanya ketika berucap pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuantan di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Ketua Umno Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.
Hishammuddin berkata, Umno berjuang untuk kelangsungan bangsa Melayu dan bukannya untuk puak-puak tertentu.
Beliau berkata, pelbagai isu yang timbul sehingga membuatkan pemimpin Umno dihentam hebat bukannya perkara baharu.
“Ini bukan kali pertama Umno diuji malah sejak kepimpinan terdahulu pelbagai ujian dihadapi Umno.
“Justeru, saya mengharapkan sokongan berterusan ahli Umno berdiri teguh di belakang Presiden parti,” katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin memohon Umno Kuantan bekerja keras untuk menawan kembali Parlimen tersebut pada PRU akan datang.
“Umno Kuantan perlu bangkit dan bergerak ke hadapan untuk membela rakyat. Pemimpin perlu turun padang mendekati pengundi di kawasan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment