Seluruh ahli Umno diminta agar tidak takut untuk menyuarakan pendapat demi menjaga kepentingan rakyat.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, pangkat dan jawatan bukanlah ukuran untuk meraih kepercayaan rakyat terhadap sesuatu parti politik, namun sebaliknya adalah nilai sesebuah perjuangan.
Beliau berkata, meskipun sudah tidak mempunyai pangkat dan jawatan, namun perjuangan membela nasib rakyat masih diteruskan.
“Saya menghormati keputusan Perdana Menteri, namun saya akan terus berjuang untuk Umno.
“Pangkat dan jawatan bukanlah dikejar dalam menyertai sesebuah politik, sebaliknya ia harus diisi dengan nilai perjuangan,” katanya.
Tambahnya, jika diimbau sejarah pilihan raya umum lalu, perjuangan yang dilalui oleh Umno bukan mudah, tambahan pula bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Pada PRU12, kita menang dua pertiga kerusi. PRU lalu, kita tumbang lima negeri. Pada PRU akan datang, bayangkan bentuk cabaran yang akan kita lalui justeru penting untuk membuat penelitian dan pendekatan bagi mendengar suara rakyat di peringkat bawah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bentong, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Beliau turut menasihatkan kepada ahli Umno agar sentiasa jujur dan ikhlas dalam perjuangan agar Umno terus mendapat sokongan terutama pada pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu Adnan pula berkata, tiga juta ahli Umno tidak cukup untuk memenangkan Umno pada pilihan raya umum akan datang.
“Justeru ahli dan pemimpin diminta untuk sentiasa turun padang dan mendekati golongan-golongan seperti warga emas, ibu tunggal, pesakit kronik, belia dan sebagainya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment