Mentakab – Kumpulan gajah liar yang memasuki Kampung Desa Bakti sejak minggu lepas dipercayai terdiri daripada lima gajah liar dari dua kumpulan berbeza.
Penduduk Md Hairuman Ramli 38, berkata, sejak kumpulan gajah itu masuk dan berkeliaran dalam kampung minggu lalu beberapa penduduk telah melihat dua ke tiga gajah liar dan dipercayai dari dua kumpulan berbeza.
Menurutnya, mungkin juga gajah itu dari kumpulan yang sama disebabkan ia hanya muncul pada sebelah malam dan awal pagi dan menyukarkan penduduk mengenal pasti jumlah sebenar haiwan liar itu.
“Setakat ini kami dimaklumkan ada dua kumpulan gajah, satu kumpulan dua ekor dan satu kumpulan lagi tiga ekor gajah.
“Selepas laporan Sinar Harian pada 26 Jun lalu, kumpulan gajah ini masih memasuki kawasan kampung dan masih memakan tanaman pokok pisang dan kelapa penduduk di sini.
“Malah ada beberapa kesan gajah ini semakin ke dalam kampung, ini adalah gajah yang sama memasuki kampung ini sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun Md Hairuman berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) masih mengesan gajah terbabit dan cuba menghalau gajah liar itu kembali ke habitat asal.
“Saya difahamkan mereka (Perhilitan) terpaksa mengambil pendekatan menghalau gajah liar itu jauh ke dalam hutan berbanding menangkap dan memindahkan haiwan itu yang boleh menelan kos sehingga RM40,000 setiap ekor.
“Kami tak kisah apa kaedah yang digunakan asalkan gajah terbabit tidak mengancam nyawa dan harta benda penduduk kampung,” katanya.
Pada 26 Jun lalu Sinar Harian melaporkan sekumpulan gajah liar berkeliaran di dalam kampung tersebut dan memakan tanaman pokok kelapa dan pisang penduduk sehari sebelum itu.
Seorang penduduk, Zabidah Ibrahim 66, berkata, gajah liar itu berkeliaran di halaman rumah yang tidak berpagar telah memusnahkan beberapa tanaman seperti kelapa dan pisang miliknya.
Menurutnya, paling menakutkan apabila gajah itu memakan pokok pisang dan kelapa yang terletak hanya tiga meter dari pintu dapur rumahnya.
“Semenjak 26 tahun tinggal di sini, tiga tahun kebelakangan ini semakin kerap gajah liar memasuki kawasan kampung dan kami sembilan keluarga di sini antara yang kerap berhadapan dengan haiwan itu.
“Ini adalah serangan ketiga sepanjang saya tinggal di sini, walaupun gajah ini tidak membahayakan kami tetapi ia telah memusnahkan tanaman pokok buah-buahan milik kami.
kejadian binatang liar masuk kampung semakin banyak berlaku sekarang ini di sebabkan habitat mereka semakin mengecil.penerokaan hutan dan penebangan pokok jadi punca makanan mereka berkurangan.bukan salah haiwan dalam pekara ini
Sangat2 bersetuju.... selain pokok2 hutan ditebang, aktiviti perlombongan juga jadi penyebabnya....