Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 7, 2015

JANGAN CUBA 'SIMPAN DEMAM'


Jangan cuba ‘simpan demam’


Kota Tinggi - Masyarakat disarankan untuk tidak mengamalkan 'simpan demam' atau membiarkan demam dialami sembuh sendiri sebaliknya segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan di mana-mana hospital berhampiran.

Ahli Majlis Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Johan Azam Mohd Yassin berkata, pemeriksaan segera itu penting bagi mengesan sekiranya penyakit dialami itu merbahaya termasuk denggi yang boleh membawa maut.

“Adalah lebih parah jika demam yang dialami itu sebenarnya adalah penyakit denggi. Gigitan nyamuk aedes boleh menyebabkan penyakit merbahaya yang boleh menyebabkan maut itu merebak di kalangan ahli keluarga dan komuniti,” katanya.

Johan Azam yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda Bahagian Kota Tinggi turut meminta penghuni rumah meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit dalam seminggu untuk memeriksa persekitaran kediaman masing-masing.

"Ia bagi melaksanakan strategi khususnya menghapus tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan perumahan masing-masing.

“Dua pesanan utama ini, iaitu jangan simpan demam dan luangkan masa 10 minit untuk memeriksa rumah adalah mesej penting yang ada dalam agenda ‘komunikasi untuk perubahan tingkah laku' (Combi) Jabatan Kesihatan bagi memerangi wabak penyakit denggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Mesra Rakyat Zon 13 anjuran Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) yang sebelum ini dikenali sebagi Gerak Tumpu.

Program yang diadakan di kawasan parkir Masjid Jamek Bandar itu dimulakan dengan senaman J-Robik. Turut diadakan ialah pertandingan merwarna kategori kanak-kanak, sukaneka, memasak asam pedas, taklimat kesihatan, pameran dan cabutan bertuah.

Program itu dijayakan bersama penyertaan Pejabat Perpaduan, Kawasan Rukun Tetangga Bukit Kerajaan dan Kampung Jawa, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Kesihatan, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar, Southern Waste Management, Tabika Kemas dan Pasti Taman Hijrah.

Peserta turut melakukan bergotong-royong di Lorong Masjid Kampung Jawa dan Taman Hijrah sementara pasukan Combi mengedarkan risalah dan khidmat nasihat kepada penduduk.

Penutup majlis itu diserikan dengan majlis penyampaian hadiah, cabutan bertuah dan jamuan makan tengah hari bagi meraikan hampir 200 peserta terbabit.

0 comments:

share2