Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 9, 2015

MARAN: KUTUK PERHIMPUNAN #KITALAWAN


Kutuk perhimpunan #KitaLawan


Golongan belia di daerah ini mengutuk perhimpunan #KitaLawan Sabtu baru-baru ini yang disifatkan cuba meraih perhatian masyarakat dunia dengan memberi imej buruk kepada kerajaan dan institusi kehakiman di negara ini.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Maran, Zafril Nasir berkata, perhimpunan haram anjuran pembangkang itu mendatangkan kesusahan kepada pihak berkuasa untuk mengawal keadaan selain menjejaskan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, perhimpunan tersebut lebih bersifat memperjuangkan individu tertentu sekali gus mencabar keputusan mahkamah.

“Apabila keputusan mahkamah tidak berpihak kepada mereka, mahkamah dituduh tidak adil sedangkan banyak lagi kes sebelum ini yang berpihak kepada pembangkang.

“Yang bersalah tetap bersalah, tidak kira individu itu dari parti mana kerana negara kita ada undang-undang dan keputusan mahkamah perlu dihormati.

“Walaupun perhimpunan tersebut disertai hampir 10,000 orang tetapi ia bukan mewakili suara majoriti kerana berjuta lagi rakyat yang mengutuk perhimpunan yang kononnya mahu membela Anwar Ibrahim,” katanya.

Zafril berkata, Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh dan menikmati semua ruang dalam setiap proses perundangan negara, maka tidak timbul soal Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dianiaya.

Menurutnya, majoriti rakyat terutama golongan belia mahu menjalani kehidupan dengan aman bagi menghadapi cabaran kos sara hidup.

“Perhimpunan atau demonstrasi jalanan hanya mencetuskan keadaan huru-hara dan lebih bersifat politik dengan menghasut rakyat untuk berkumpul,” katanya ketika ditemui pada Kursus Transformasi Belia Siri 4, di sini.

Perasmian penutup kursus disempurnakan Pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Imaddudin Abidin.

0 comments:

share2