LUAR BIASA! Demikian reaksi pertama dilafazkan setiap pengunjung Restoran Gulam Mee di Kota Damansara sebaik sahaja selepas menyaksikan persembahan 'budak api', Mohd Nirwan Roslee, 12.
Apa yang menyebabkan semua orang terpukau ialah kebolehannya yang mampu mengeluarkan api dari mulut dan membuat aksi makan api.
Mohd Nirwan yang mesra disapa Wan mengakui penglibatannya dalam melakukan persembahan ekstrem itu bermula seawal usia enam tahun lagi selepas mendapat tunjuk ajar bapanya, Roslee Yusop, 48.
"Masa awal-awal dulu, saya hanya dilatih sembur air di bilik mandi saja. Dari situ ayah nampak bakat saya dan ajar saya main api pula.
"Agak takut juga masa mula-mula buat persembahan dulu sebab saya kecil lagi, tak tahu apa-apa pun. Tapi sepanjang persembahan yang saya buat, ayah ada dengan saya, jaga keselamatan. Barang-barang untuk buat persembahan pun ayah yang sediakan," katanya menyingkap kisah hidup kepada Sinar Harian.
Kata Wan, selepas enam tahun berpengalaman menjadi budak api, dia kini mula selesa dan seronok dengan kerja yang dilakukan.
"Saya seronok sebab dapat hiburkan orang ramai selain cari duit poket sendiri. Budak lain macam umur saya mana ada yang bekerja. Pernah juga pelanggan panggil saya buat persembahan dan bayar dengan harga RM500. Itulah bayaran maksimum yang ayah sendiri letak kalau pelanggan nak tengok saya beraksi.
"Kalau dapat bayaran banyak itu, ayah beri saya bulat-bulat sebab dia kata itu usaha yang saya buat untuk cari duit. Selalunya saya simpan saja, tak beli apa pun. Persembahan pun terhad dibuat hari minggu dan cuti sekolah saja, jadi setakat ini, kerja yang saya buat ini tak ganggu waktu sekolah," tambah Wan.
'Ayah tetap utamakan pelajaran'
Di sebalik bakatnya itu, Wan mengakui yang ayahnya juga sangat menitikberatkan persekolahannya.
"Ayah saya garang, dia kata kalau sekolah, kena belajar betul-betul. Ayah tak pernah beri izin saya buat persembahan lepas sekolah kerana mahu saya fokus. Lagipun tahun ni saya akan ambil UPSR," katanya lagi.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr Ismail 2 ini berkata, ramai rakannya bertanya tentang bakatnya itu dan dengan senang hati dia akan berkongsi pengalaman.
"Saya cerita sajalah, buat apa nak malu. Tapi kawan-kawan saya pun hanya boleh dengar saja, mereka tak berani cuba sebab bahaya. Saya buat aksi sembur dan makan api pun dengan pengawasan ayah. Tak berani juga buat sendiri-sendiri.
"Ayah saya dulu pernah melecur separuh muka sebab tersilap beli minyak. Tapi Alhamdulillah setakat ini, saya tak pernah lagi kena macam tu, minta jauhlah," katanya.
Bapa Wan, Roslee turut mengakui, dia cukup tegas dengan soal pendidikan anak-anaknya dan walaupun mereka dibenarkan mencari duit poket sendiri dalam usia muda, namun pelajaran tidak diabaikan.
"Saya sendiri yang akan hantar Wan ke sekolah hari-hari. Saya tak benarkan dia buat persembahan masa sekolah. Persembahan dia pun buat malam minggu saja dan waktu cuti sekolah. Jadi di sebelah siang, memang dia akan ke sekolah dan pergi kelas tambahan macam biasa," katanya.
Sanggup buat macam-macam kerja demi survival
Roslee yang berniaga barang mainan juga menyediakan perkhidmatan lain untuk menghiburkan orang ramai.
"Sebenarnya, saya meniaga barang mainan kanak-kanak di pasar malam sebagai mata pencarian. Kadang-kadang saya jadi seniman jalanan buat persembahan hujung minggu di Jalan Masjid India. Macam-macam benda saya buat untuk sara isteri dan tiga anak.
"Saya boleh jadi badut, si kaki panjang dan juga maskot untuk hiburkan orang ramai. Selain meniaga, buat persembahan macam inilah juga punca rezeki saya.
"Sudah 20 tahun pun saya cari rezeki cara ini. Alhamdulillah, rezeki ALLAH itu ada. Kalau dulu saya meniaga dan buat persembahan di Uptown Kota Damansara, tetapi sekarang ini terpaksa berpindah ke sini kerana tapak di Uptown sudah dirobohkan.
"Dulu pendapatan boleh cecah RM4,000 sebulan, tapi sekarang ini dah kurang. Persembahan di Gulam Mee ini kalau satu malam paling kuat hanya boleh dapat RM40 hingga RM50 saja. Sebab itu saya tak boleh fokus satu tempat saja, kadang-kadang itu satu malam saya lari ke dua tiga tempat yang ramai orang untuk cari rezeki," katanya.
Dalam pada itu, Roslee turut meluahkan rasa terkilan kerana segelintir masyarakat memandang hina seniman jalan sepertinya.
"Kami cari rezeki macam orang lain juga, tapi dengan cara kami sendiri. Kalau orang nak beri lebih, kami berterima kasih, selebihnya ikut ikhlaslah nak beri banyak mana.
"Lagipun, saya bukan minta sedekah, kami buat persembahan sendiri depan orang ramai. Hanya orang yang mampu menilai seni saja boleh tafsirkan kami ini bagaimana dan golongan yang cintakan seni ini yang selalunya akan beri tip lebih.
"Nak jadi seniman jalanan pun bukan boleh ikut suka sebab saya ada lesen dan kad yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sebab itu saya boleh bebas buat persembahan di kaki lima sekitar Jalan Masjid India," katanya.
Roslee menyambung cerita, dia kini sudah tidak kuat untuk terus menjadi seniman jalanan dan terpaksa berkongsi rezeki dengan anaknya.
"Umur saya bukan muda lagi, kalau nak buat persembahan di banyak tempat seperti dulu, tak bolehlah. Sekarang ini sebulan dapat RM2,000 pun saya dah bersyukur.
Saya pun susah nak ke Kuala Lumpur kerana terlalu sesak.
"Kalau ada yang panggil Wan buat persembahan, saya letak harga sendiri. Tetapi kadang-kadang, harga yang saya letak itu pun pelanggan minta turun lagi. Jadi bayaran persembahan ikut kemampuan pelanggan jugalah," katanya.
0 comments:
Post a Comment