Seremban - "Tak apa, nanti kita bunuh mereka perlahan-lahan." Itu kata-kata yang terngiang-ngiang di telinga mangsa samun di Taman Seremban 3, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa yang hanya mahu dikenal sebagai Liana, 37, berkata, dia terdengar suara itu ketika dua penjenayah bermotosikal menceroboh masuk rumahnya.
Liana yang merupakan seorang pengasuh kanak-kanak berkata, kejadian berlaku sangat pantas apabila dia terdengar jeritan suaminya yang ternampak dua lelaki tidak dikenali berada di luar pagar rumahnya, manakala seorang daripadanya mengeluarkan sebilah parang.
"Masa itu, seorang kawan saya sedang berhentikan keretanya di luar pagar rumah saya untuk menghantar anak kecilnya kepada saya. Suami saya yang memang berada di luar rumah tiba-tiba nampak ada lelaki memakai helmet penuh menghampiri kawan saya itu.
“Kawan saya pada mulanya tidak sedar ada penjenayah di belakangnya. Bila dia sedar, sambil mendukung anaknya, dia tidak berlawan tetapi hanya berdiam diri," katanya.
Menurutnya, penjenayah itu kemudian mengambil beg tangan rakannya, manakala seorang lagi suspek meluru masuk ke dalam kawasan rumah.
"Saya dan suami tidak mampu buat apa-apa sebab penjenayah itu bertindak agresif. Saya hanya serahkan apa yang ada," katanya yang memberitahu antara barangan dilarikan adalah cincin, telefon bimbit dan dompet milik suaminya yang turut mempunyai beberapa dokumen penting termasuk kad pengenalan.
Ibu kepada enam anak berkata, jika diikutkan hatinya, dia mahu berlawan dengan suspek, namun disebabkan suspek di rumah itu terdapat ramai anak kecil, dia membatalkan hasratnya itu.
“Kejadian memang berlaku sekelip mata. Sehingga kini, saya masih lagi trauma dengan kejadian ini," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Liana yang membuat laporan di Balai Polis Mambau bagaimanapun bersyukur kerana kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan walaupun mengalami kerugian lebih RM1,000.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan kejadian.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.
0 comments:
Post a Comment