Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 14, 2015

AADK KESAN 324 PENAGIH DADAH DI P. PINANG


dadah


Tasek Gelugor - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang berjaya mengesan 345 penagih dadah dalam beberapa operasi di sekitar negeri itu yang dijalankan sejak Januari hingga 28 Februari lepas.

Pengarahnya Rohani Ahmad berkata paling membimbangkan penagih yang dikesan itu turut membabitkan golongan remaja terdiri daripada kalangan pelajar sekolah.

"Daripada 345 individu yang dikesan kerana penyalahgunaan dadah itu, sebahagian daripada mereka berusia 16 hingga 19 tahun dan ia (jumlah itu) menunjukkan peningkatan.

"Perkara ini yang menjadi kebimbangan kepada kami kerana AADK Pulau Pinang turut mengesan golongan penagih remaja dalam kalangan pelajar sekolah dan berikutan itu, kami mengambil pendekatan mendekati mereka melalui program sekolah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari AADK Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Selamat, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Adun Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin. 

Sementara itu, Rohani berkata pihaknya berharap jalinan kerjasama antara AADK dan sekolah dapat diteruskan supaya usaha membasmi najis dadah dalam kalangan pelajar sekolah dapat diteruskan pada masa hadapan.

"Selain kerjasama dengan pihak sekolah, kami juga akan meneruskan pelbagai program lain dan beberapa operasi dari semasa ke semasa dengan menumpukan kawasan yang berisiko mencatatkan golongan penagih tertinggi.

"AADK Pulau Pinang akan memberi fokus kepada kepada setiap kawasan berisiko yang dikesan antara tiga ke enam bulan," katanya.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah agar menghubung mana-mana pejabat AADK berdekatan bagi menyalurkan maklumat dalam usaha membendung aktiviti berkenaan.

0 comments:

share2