Koperasi Penternak Ikan Sangkar dan Nelayan Sungai Berhad (Koperasi Patin) menggesa peniaga ikan sangkar tidak menaikkan harga ikan patin dan tilapia sebelum cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan April ini.
Pengerusinya, Abu Hanipah Majid berkata, peruncit dan pemborong masih mempunyai keuntungan sekitar RM3 hingga RM4 bagi setiap kilogram sekiranya tidak menaikkan harga ikan sangkar.
Menurutnya, harga runcit bagi ikan sangkar sekarang sekitar RM14 dan RM15 manakala harga borong antara RM10.50 hingga RM11 perlu dikekalkan dalam keadaan kerajaan sedang menggesa peniaga menurunkan harga barangan mereka kerana harga bahan api menurun.
“Saya harap peniaga ikan sangkar khususnya patin dan tilapia tidak menaikkan harga walaupun harga makanan rumusan (palet) ikan naik sekitar RM2 bagi setiap beg.
“Kenaikan harga palet ikan itu hanya sekitar 3.8 peratus sebenarnya hanya mengurangkan sedikit keuntungan para penternak ikan sangkar,” katanya mengulas laporan akhbar ini minggu lalu mengenai kemungkinan harga ikan sangkar akan dinaikkan.
Abu Hanipah berkata, dakwaan penternak bahawa cuaca kemarau dan banjir yang melanda baru-baru ini sebagai punca bekalan harga ikan naik tidak sesuai kerana faktor cuaca bukanlah kos dalam perniagaan mereka.
Beliau berkata, dari segi asas ekonomi harga barangan dijangka meningkat apabila permintaan melebihi penawaran memang benar kerana kekurangan bekalan adalah disebabkan banyak sangkar ikan pengusaha hanyut dan pecah.
“Saya dimaklumkan terdapat 26 pengusaha ikan sangkar dalam kalangan ahli koperasi yang rugi 100 peratus apabila sangkar ikan mereka musnah akibat banjir.
“Sebab itu saya merayu kepada kerajaan mempercepatkan projek kluster ternakan ikan sangkar bagi menampung permintaan pasaran yang semakin tinggi sekarang.
“Kerajaan pernah berjanji untuk mewujudkan projek ternakan ikan sangkar berskala besar di daerah ini namun sehingga kini belum ada tanda ia akan dimulakan, sebab itu saya merayu kerajaan mempercepatkan projek yang mampu memberi impak ekonomi kepada daerah ini secepat mungkin,” katanya.
0 comments:
Post a Comment