Unit Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mengesan premis menjual produk babi yang dikatakan mengelirukan dan tidak jelas untuk kefahaman umat Islam.
Produk berkenaan dikesan di sebuah pusat membeli belah di bandar ini sempena Kempen dan Promosi Halal yang dilaksanakan di lebih 50 premis makanan.
Justeru, Ketua Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan menasihatkan umat Islam lebih prihatin dengan tanda halal pada produk yang dijual di pusat membeli-belah kerana ada yang tidak jelas dan mengelirukan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati berlaku kekeliruan kerana ada produk yang tidak ditandakan ‘Tidak Halal’ dengan jelas.
“Produk dari sumber ayam ditanda 'NON HALAL' tetapi produk dari sumber khinzir pula tidak tiada cop berkenaan dan boleh mengelirukan pengguna Islam,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya menasihatkan penjual di premis berkenaan melabelkan produk itu dengan jelas sesuai dengan lokasi yang mempunyai ramai pengguna Islam.
Katanya, Kempen dan promosi dilaksanakan di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan utama pelanggan seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, Malay Town, Cina Town, Indian Town dan premis makanan yang beroperasi di East Coast Mall.
Noridzuan berkata, ia bertujuan memberi kesedaran mengenai produk halal kepada pengusaha premis makanan sekali gus menggalakkan mereka memohon Sijil Halal Malaysia.
“Kempen ini bukan hanya kepada restoran masakan Melayu tetapi premis ang menyajikan masakan Cina, India dan barat.
“Penerangan ringkas berkaitan keperluan penyediaan makanan halal serta penggunaan ramuan yang disahkan halal turut disampaikan kepada pengusaha premis selain menggalakkan permohonan Sijil Halal Malaysia,” katanya.
Menurutnya, sepanjang kempen dan promosi, pengusaha makanan memberikan maklum balas yang baik.
Katanya, unit itu akan meneruskan pelaksanaan kempen dan promosi halal sebagai langkah meningkatkan kesedaran dalam kalangan industri makanan berkaitan pensijilan halal.
“Keprihatinan pengguna berkaitan status halal sesuatu produk makanan dan premis makanan boleh membantu menggalakkan pengusaha memohon sijil halal,” katanya.
0 comments:
Post a Comment