Dua kanak-kanak perempuan nyaris lemas manakala seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas dan masih belum ditemui ketika sedang bermain air di Pantai De Rhu, Kampung Rantau Panjang, di sini petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, pasukan penyelamat melibatkan pelbagai agensi sedang giat mencari mangsa yang hilang sekitar jam 5 petang kelmarin.
“Dua kanak-kanak perempuan yang nyaris lemas itu berjaya diselamatkan oleh orang awam yang ketika itu berada di pantai dan telah dihantar ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut.
“Seorang kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Mohd Adam Mukhriz Ra-Azmi, 6, yang tinggal di Kampung Tebu Hitam dan merupakan murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Leban Chondong telah hilang. Mangsa dikhuatiri lemas dan operasi mencari sedang giat dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian.
50 anggota terlibat cari mangsa
Seramai 50 anggota terdiri daripada pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis, Polis Marin, Maritim, Jabatan Pertahan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela yang turut dibantu penduduk kampung bertungkus-lumus melakukan pencarian di air serta pantai.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Azaitul Suhaila Mat, 33, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, perangai anak lelaki sulungnya itu memang banyak berubah seminggu kebelakangan ini dan tidak sangka itu petanda dia akan hilang.
Menurutnya, minat Adam untuk bermain air sangat tinggi sehingga pernah ditegur oleh jiran kerana melihatnya mandi di parit berhampiran rumah yang agak berbahaya bagi kanak-kanak seusianya.
“Petang semalam sebelum kejadian, ketika kami sedang makan di pantai, Adam sempat membantu saya menyuap makanan kepada adiknya. Dia ada minta kebenaran untuk mandi laut, tetapi saya tidak benarkan sehinggalah dia menangis kerana tetap mahu mandi.
“Sedang saya menyuap makanan kepada anak kedua saya itu, tiba-tiba Adam berlari menuju ke laut dan saya tidak sempat mengejarnya. Tiba di gigi air saya lihat Mohd Adam Mukhriz bersama dua lagi kanak-kanak perempuan yang juga merupakan anak jiran sedang terkapai-kapai lemas,” katanya.
Azaitul Suhaila yang panik hanya mampu menjerit memanggil nama Adam sambil orang awam lain di pantai terjun ke laut untuk menyelamatkan mereka bertiga, namun Adam hilang dan gagal diselamatkan.
Laut bergelora sukarkan pencarian
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Penolong Penguasa Bomba, Shamsul Affandy Sulaiman berkata, pihaknya menerima makluman dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Pahang pada jam 5.11 petang semalam (kelmarin) dan sepasukan anggota yang diketuainya telah bergegas ke lokasi.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi maklumat awal yang diterima kejadian lemas melibatkan tiga mangsa iaitu dua kanak-kanak perempuan yang berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki masih hilang.
Beliau berkata, operasi dimulakan pada petang semalam (kelmarin) dan terpaksa ditangguhkan pada jam pada 7.40 petang disebabkan keadaan pantai yang sudah gelap dan faktor air pasang.
“Hari ini operasi diteruskan bermula jam 8 pagi tadi (semalam) dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Kuantan dan agensi penyelamat lain termasuk penduduk kampung.
“Kawasan SAR dipecahkan kepada beberapa sektor berdasarkan lokasi terakhir mangsa hingga ke sebelah timur dan barat serta rondaan di pesisir pantai, namun keadaan laut yang bergelora agak menyukarkan pencarian terutama di pesisir pantai yang agak terhad,” katanya.
0 comments:
Post a Comment