Kesedaran terhadap aktiviti kitar semula di peringkat sekolah didapati masih kurang walaupun kempen kesedaran sudah dijalankan sejak beberapa tahun lalu.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Pahang, Datuk Mohd Nor Afandi Abd Aziz berkata, pihaknya akan memperhebatkan program kesedaran kitar semula di sekolah di seluruh negeri.
Menurutnya, antara masalah yang menyebabkan kesedaran masih kurang adalah tiada kelab kitar semula di sekolah.
“Selepas ini, PPSPPA akan turun padang ke sekolah untuk memberikan taklimat mengenai aktiviti kitar semula dengan lebih mendalam.
“Ini adalah salah satu inisiatif untuk meningkatkan jumlah penyertaan sekolah dalam pertandingan kitar semula sekolah-sekolah peringkat kebangsaan,” katanya.
Mohd Nor Afandi berkata, usaha memupuk kesedaran mengenai kitar semula perlu dimulakan di sekolah dan PPSPPA sedia membantu memberi khidmat nasihat kepada sekolah bagi tujuan tersebut.
Katanya, untuk pertandingan itu, terdapat dua kategori disediakan iaitu sekolah rendah (bandar/luar bandar) dan sekolah menengah (bandar/luar bandar).
“Manakala, hadiah yang ditawarkan bagi tempat pertama wang tunai RM3,000, tempat kedua RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000 berserta trofi dan sijil penyertaan,” katanya.
Selain itu katanya, banyak aktiviti yang boleh dilakukan menggunakan barang kitar semula yang sesuai diadakan di sekolah seterusnya dapat mendidik mereka dari awal.
“Kerjasama daripada semua pihak penting untuk memastikan hasrat kerajaan untuk melihat program kitar semula berjaya direalisasikan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, pihaknya akan memperbanyakkan penyediaan tong sampah kitar semula di tempat-tempat awam bagi memudahkan orang awam membuang sampah mengikut kategori.
0 comments:
Post a Comment