Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 16, 2015

ROMPIN: DAPATKAN BEKALAN TERUS DARIPADA PETANI


Peniaga pasar tani disarankan mendapatkan produk pertanian untuk diniagakan dari pengeluar pertama iaitu golongan petani dan tidak mengambil produk hasil tani dari pasar borong.

Saranan tersebut dibuat dalam usaha menjayakan kempen jihad perangi orang tengah diteruskan lagi pada tahun ini melalui pelbagai strategi yang telah dirancang oleh pihak kerajaan.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pahang, Datuk Sulaiman Embong, berkata, pusat pengumpulan hasil ladang akan diwujudkan dalam memudahkan golongan petani memasarkan hasil tani mereka tanpa perlu melalui orang tengah.

“Usaha mewujudkan pusat pengumpulan hasil ladang ini adalah supaya peniaga pasar tani lebih mengutamakan pengeluar pertama iaitu golongan petani dan setelah ia mula beroperasi peniaga pasar tani tidak akan dibenarkan lagi mengambil stok dari pasar borong.

“Setiap daerah di seluruh Pahang sekurang-kurangnya akan mempunyai sebuah pusat pengumpulan hasil ladang tersebut manakala bagi daerah Rompin projek berkenaan telah diluluskan dengan bajet berjumlah RM100 ribu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Majlis Sambutan 40 Tahun Penubuhan PPK Rompin.

Turut hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia, Datuk Arpan Shah Satu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Datuk Mustafa Kamal Abdul Hamid, Adun Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Rompin, Datuk Md Rusli Ismail dan Pengurus Besar PPK Rompin, Suriadi Abdul Jalal.

Menurutnya, pusat pengumpulan hasil ladang itu disasarkan akan beroperasi sebelum Jun tahun ini dan setelah siap pemborong serta peruncit boleh berurusan terus dengan petani.
Sementara itu, Arpan Shah berkata, jihad perangi orang tengah antara fokus utama pada tahun ini selain menangani kedudukan ekonomi.

“Dalam usaha menjayakan kempen memerangi orang tengah ini, pelbagai medium digunakan supaya dominasi orang tengah dapat dikurangkan seperti kewujudan agro bazar dan pusat pengumpulan hasil ladang yang masih dalam proses pembinaan.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM2.2 bilion untuk bantuan subsidi kepada petani namun hasilnya hanya sedikit peningkatan pendapatan petani yang dicatatkan,” katanya.

0 comments:

share2