Pelbagai alasan diberikan penunggang ‘bermasalah’ untuk melepaskan diri selepas motosikal ditunggang ditahan anggota Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ) Pahang dalam sekatan Ops Motosikal sempena Ops Tahun Baru Cina, di Jalan Telok Sisek di sini, malam semalam.
Kebanyakan mereka memberikan alasan meminjam motosikal milik keluarga untuk ke Stadium Darul Makmur bagi menyaksikan perlawanan Liga Super, Pahang menentang Selangor.
Bagaimanapun alasan itu tidak diterima sebaliknya tindakan diambil terhadap mereka kerana didapati menunggang tanpa lesen dan melakukan beberapa kesalahan lain.
Ramai juga yang bertindak nekad cuba melarikan diri dengan berpatah balik dan menunggang secara melawan arus selepas menyedari sekatan jalan yang dilakukan bagaimanapun tiada sebarang kemalangan berlaku sepanjang operasi tersebut.
780 kenderaan diperiksa
Hasil operasi bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam itu, sebanyak 780 buah kenderaan kebanyakannya motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu, 44 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
Pengarah JPJ Pahang, Mark Ujin berkata, pihaknya mengeluarkan 65 saman atas pelbagai kesalahan.
Menurutnya, daripada jumlah saman yang dikeluarkan itu, 26 melibatkan lesen memandu, 23 kes tiada cukai jalan, tiga kes kesalahan melibatkan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi dan 15 lain-lain kesalahan.
“Operasi ini melibatkan kekuatan 77 anggota termasuk pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Agensi Anti Dadah kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (Jas), dan Puspakom.
“Kita juga turut menyita tiga buah kenderaan iaitu dua buah motosikal dan sebuah kereta kerana didapati melanggar kesalahan di bawah lesen kenderaan motor,” katanya ketika ditemui selepas turun padang menyertai operasi itu.
Hadir sama timbalannya, Nazili Kadir dan pengarah JKJR Negeri, Nur Ayuni Mahamamad Zin.
Operasi akan diteruskan
Mark berkata, operasi itu dilakukan di sekitar Bandar Kuantan melibatkan jalan-jalan utama bagi mengesan pengguna jalan raya yang ‘bermasalah’ khususnya dari kalangan pengguna motosikal.
“Kita dapati, kesalahan biasa terus dilakukan walaupun pelbagai tindakan diambil termasuk kempen kesedaran dan penguatkuasaan.
“JPJ Pahang akan meneruskan operasi seperti ini untuk menyedarkan pemandu dan penunggang terhadap tanggungjawab mereka mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan,” katanya.
JKJR ganti 20 topi keledar
Sementara itu, Nur Ayuni berkata, pihaknya menyediakan topi keledar baharu yang selamat bagi menggantikan topi keledar dipakai penunggang sekiranya didapati ianya tidak sesuai digunakan semasa menunggang.
Menurutnya, untuk operasi malam kelmarin itu, sebanyak 20 topi keledar termasuk untuk kanak-kanak diagihkan manakala topi-topi keledar lama yang dikumpulkan akan dilupuskan.
“Kita dapati ada yang enggan menyerahkan topi keledar dipakai untuk digantikan dengan alasan lebih selesa memakai topi keledar sedia ada.
“Ada ada juga enggan berbuat demikian memandangkan topi keledar yang digunakan itu milik orang lain,” katanya.
Nur Ayuni berkata, pihaknya juga turut menyediakan dan membantu melekatkan pelekat pemantul cahaya pada motosikal sebagai salah satu langkah keselamatan.
Empat ditahan positif dadah
Dalam operasi sama, AADK bertindak melakukan pemeriksaan ke atas lapan individu dan empat daripadanya didapati positif dadah.
Pegawai AADK, Zulkipli Muhammad memaklumkan, empat yang didapati positif itu melibatkan seorang pemandu, seorang penumpang kereta dan dua penunggang motosikal.
“Tiga daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan seorang lagi positif dadah jenis Heroin,” katanya.
0 comments:
Post a Comment