Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 14, 2015

PENGGANTI ANWAR DALAM PR PERLU DISEGERAKAN


PR


Shah Alam – Pemerhati politik menyifatkan ujian utama PR untuk masa ini adalah mengisi kelompangan besar yang berlaku dalam pakatan itu selepas ‘kehilangan’ dua pemimpin utama mereka.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman penjara, Selasa lalu dan perginya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

Kedua-dua tokoh itu dilihat sebagai ‘pengikat’ kepada parti-parti komponen dalam PR.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, PR tiada pilihan lain selain mencari pengganti dalam masa terdekat.

“PR tidak boleh mati akal. Harus mencari pemimpin pengganti untuk memastikan survival PR. Kalau pun tidak ada yang sama taraf dengan kedua-duanya, harus ditajamkan bakat kepimpinan mereka.

“Saya percaya, kalau diberi ruang...dan mereka ini harus diberi ruang untuk muncul sebagai pemimpin yang sama taraf dengan Anwar dan Nik Aziz. Walaupun memang susah dalam keadaan sekarang untuk mencari orang yang mempunyai wibawa dan watak kepimpinan seunggul itu...yang boleh diterima oleh semua pihak,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Menurutnya, PR tidak boleh lagi mengambil sikap seolah-olah tiada konflik dalam pakatan itu yang sudah kelihatan dari luar.

“Jadi, ujian pertama PR adalah untuk mengisi kelompangan ini segera, dapat meredakan konflik dan isu-isu yang tertangguh. Isu-isu ini perlu diselesaikan dalam mesyuarat lepas.

“Mereka tidak boleh menyapu isu itu di bawah karpet. Berpura-pura seolah-olah isu itu tidak wujud kerana pada akhirnya isu itu perlu diselesaikan juga untuk memastikan hubungan itu kembali mesra,” katanya.

Sementara Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohammad Fuad Othman turut senada dalam perkara itu.

Katanya, calon pengganti itu perlu datang dari PKR bagi mengelakkan timbul rasa kurang senang dalam DAP dan Pas.

“Saya rasa kedua-dua figura ini adalah figura yang penting dalam PR yang menyatukan parti komponen dalam PR. Tapi yang lebih penting sekarang ini adalah mereka perlu memilih ketua yang baharu.

“Kalau dari segi calon itu, saya kira dia terpaksa jatuh balik kepada PKR. Kerana kalau calon datang dari DAP, mungkin Pas tidak bersetuju. Kalau calon datang dari Pas, mungkin DAP pula tidak selesa. Tapi persoalannya, siapakah pengganti itu dari dalam PKR yang boleh memimpin dan membawa PR selepas itu?,” katanya.

Malah beliau turut menyebut beberapa nama yang dilihat layak untuk kedudukan Ketua Pembangkang di Parlimen.

“Maknanya, mereka kena cari dalam kalangan pemimpin PR yang ada kedudukan di Parlimen.

“Sebagai contohnya yang kalau kita lihat dari PKR ada Azmin Ali. Dalam DAP mungkin Lim Guan Eng atau Ram Karpal Singh dan kalau dari Pas, mungkin Datuk Seri Abdul Hadi sendiri. Jadi, perlu pilih dalam kalangan mereka ini,” katanya.

Manakala Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat, ketiadaan dua pemimpin PR itu, ikatan yang terbina kian longgar dan meruncing.

“Saya rasa ketiadaan itu mungkin menjejaskan kepimpinan PR. Pas sendiri pun mengalami kepincangan kepimpinan sejak akhir-akhir ini. Kalau ada Nik Aziz, Hadi dapat bertahan dengan baik tapi tiadanya Allahyarham ini, cabaran yang dihadapi lebih sengit lagi.

“Jadi, tanpa mereka (Anwar dan Nik Aziz), ikatan PR itu sudah agak longgar. Terpulang kepada pemimpin yang ada, yang akan menggantikan Anwar. Tapi yang saya nampak sekarang memang dah longgar kerana ketiadaan dua pemimpin ini. Agak runcing sedikit buat sementara ini,” katanya.

0 comments:

share2