Sekumpulan nelayan warga asing dikesan terus bertindak berani menceroboh masuk kawasan untuk ‘merompak’ hasil perikanan di perairan negeri ini biarpun terpaksa berdepan lautan yang masih bergelora.
Mereka dipercayai mengambil kesempatan atas faktor cuaca itu untuk menceroboh masuk perairan negeri memandangkan masih ramai nelayan tempatan tidak turun ke laut.
Sangkaan mereka perairan ini ‘selamat’ daripada pihak berkuasa maritim ternyata meleset apabila kehadiran berjaya dikesan membawa kepada penahanan dua buah bot terbabit bersama dua tekong dan 13 awak-awaknya, kelmarin.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Mamu Said Alee berkata, kapal ronda Maritim mengesan kehadiran dua buah bot terbabit di dua lokasi berasingan kira-kira 76 dan 61 batu nautika di timur laut Kuantan.
Menurutnya, ketika kejadian, salah sebuah bot dikesan sedang mencandat sotong bagaimanapun mereka bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran kapal peronda Maritim.
“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas anggota kita, bot mereka berjaya dihalang dan tekong serta awak-awak ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mamu Said berkata, bot nelayan Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran BD 95918 TS dan BD 95890 TS itu bersama krewnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengadakan rondaan di perairan negara selama 24 jam bagi mengekang pencerobohan nelayan warga asing.
“Walaupun terpaksa berdepan keadaan lautan bergelora disebabkan musim tengkujuh yang dijangka berakhir pada bulan depan, kami teruskan rondaan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang membabitkan bot asing berlaku.
“Pada masa sama, orang ramai disaran menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi (PUSOP) DM8 di talian 09-5717345 untuk sebarang aduan kesalahan atau jenayah di laut,” katanya.
0 comments:
Post a Comment