Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 15, 2015

KUALA LIPIS : 272 KM SUNGAI AKAN DIKOREK

Mohd Soffi (kiri) dan Abdul Rahman (tengah) ketika penyampaian baucar BR1M kepada seorang penerima di Benta, semalam.


Kerajaan negeri kini menimbang tawaran sebuah syarikat persendirian yang berminat untuk mengorek dan mendalamkan sungai utama di negeri ini bagi mengurangkan limpahan air serta mengelakkan banjir berulang pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, berkata, antara sungai utama di negeri ini yang diberi keutamaan kerja mengorek dan mendalamkan struktur dasarnya, iaitu Sungai Jelai dan Sungai Lipis (Lipis), Sungai Tembeling (Jerantut), Sungai Pahang (Jerantut, Temerloh, Bera, Maran dan Pekan), Sungai Kuantan, Sungai Kenau dan Sungai Belat (Kuantan).

“Kerajaan menghargai kesanggupan syarikat berkenaan komited untuk melaksanakan projek mengorek dan mendalamkan saliran berkenaan sejauh 272 kilometer di negeri ini.

“Kita kini kaji dengan teliti tawaran (percuma) syarikat itu lagipun cukup signifikan membantu kerajaan sendiri menjimatkan kos sebanyak RM500 juta sekiranya projek ini dibuka tawaran oleh kerajaan kepada pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada seramai 48 penerima di Dun Benta, di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad juga turut menyampaikan bantuan BR1M kepada penerima berkenaan.

Mohd Soffi berkata, usaha itu sebagai memahami titah cadangan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas melawat semua lokasi yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini. 

Menurutnya, titah Tengku Abdullah supaya sungai dan muara diperdalam (korek), menyebabkan kerajaan negeri segera bertindak membentuk jawatankuasa membabitkan Jabatan Perikanan, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pengurusan Air Pahang Berhad, Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi memulakan kajian berasaskan bidang masing-masing sebelum membuat perjanjian tawaran syarikat berkenaan.

“Tawaran syarikat persendirian itu menarik minat kerajaan negeri kerana semua kos penyelenggaraan dan logistik ditanggung oleh syarikat itu yang juga mempunyai kepakaran kerja mendalamkan saliran.

“Jika perbincangan serta kajian selesai bermakna kerja mendalamkan sungai utama di negeri dapat dipercepatkan tahun ini juga,” katanya.

Mohd Soffi yang juga Adun Benta berkata, perjanjian akan dibuat selepas selesai kajian daripada jawatankuasa agensi terbabit termasuk meneliti impak alam sekitar, kebersihan air, tanah (tebing), perusahaan ternakan ikan sangkar, mencari gali pasir dan habitat akuakultur di sungai berkenaan.

Menurutnya, projek yang membabitkan jangka masa antara tujuh hingga 15 tahun perlu diteliti dan diselenggarakan dengan betul agar tidak menyusahkan semua pihak termasuk gangguan alam sekitar, pencemaran air dan saliran sungai berkenaan.

“Walaupun kos penyelenggaraan dan logistik ditanggung syarikat berkenaan, kerajaan juga terpaksa mengadakan perjanjian membenarkan mereka (syarikat) mengambil pasir yang digali untuk dijual kepada industri dan pengusaha tempatan,” katanya.




0 comments:

share2