Kementerian Kesihatan berusaha bersungguh-sungguh membenteras denggi. Penyakit bawaan nyamuk itu sudah jadi antara pembunuh utama rakyat negara kita. Berbagai usaha sudah dilakukan oleh kerajaan bagi mengekang dan menghapuskan denggi namun masih belum menampakkan kejayaan.
Di kawasan-kawasan dimana denggi dikesan, pihak Jabatan Kesihatan setempat akan sentiasa memantau dan membuat semburan kabus serta lain-lain usaha. Pihak berkuasa tempatan juga berusaha keras membersihkan kawasan dimana air bertakung bagi menghalang pembiakan nyamuk aedes. Bahkan kerajaan juga menetapkan hukuman mengenakan kompaun kepada individu yang membantu pembiakan nyamuk aedes ini. Malangnya usaha itu masih belum benar-benar berkesan.
Segalanya adalah atas tanggung-jawab kita sendiri sebagai rakyat. Walauapa peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan tidak akan bermakna tanpa kerjasama kita sendiri. Ini adalah mengenai sikap kita.
Apakah kerajaan juga bertanggungjawab untuk menjadikan kediaman kita sendiri bersih dan selesa? Apakah salah kerajaan jika kita sendiri gagal membersihkan persekitaran rumah kita? Salah kerajaankah jika kita membuang sampah merata-rata dan membiarkan tin kosong serta apa saja yang membolehkan nyamuk aedes membiak?
Salahnya adalah sikap kita sendiri. Kita bukan dari kalangan masyarakat yang menjaga kebersihan persekitaran kita. Kita tidak sukakan kebersihan. Kita menganggap menjaga kebersihan bukan tanggungjawab kita. Kita tidak sayangkan alam sekitar dan tidak menganggap bumi ini adalah milok kita dan tanggungjawab kita.
Mungkin kita sayangkan harta benda kita sendiri sahaja namun tidak menyedari bahawa alas sekitar ini juga adalah hak kita. Tidak hairanlah jika kita melihat ada orang yang sayangkan kenderaannya dan menjaganya dengan bersih, namun sampah dan kekotoran dari kenderaannya dibuang keluar kerana menganggap alam sekitar bukan tanggungjawab kita.
Lihaklah sekeliling kita.. longkang dikawasan perumahan kita... kita tidak endahkan kebersihannya kerana menganggap itu bukan hak kita, namun dalam masa sama kita lupa bahawa apabila persekitaran kita tidak kita jaga, penyakit akan mudah terjadi dan memberikan kesan kepada diri kita sendiri, atau keluarga dan saudara-mara kita. Apakah sikap pentingkan diri sendiri sudah jadi budaya hidup kita masa kini?
Kita memusuhi penyakit yang boleh meragut nyawa kita. Kita juga mungkin memusuhi persekitaran yang tidak bersih dan membencinya. Namun dalam masa sama kita tidak sedari bahawa kita juga adalah punca kepada segalanya. Musuh kita adalah diri kita sendiri.
Tok Awang Selampit.
0 comments:
Post a Comment