PUTRAJAYA: Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhammad Huzaifah Shuib menimbulkan kekecohan dalam kalangan penyokong pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila mendesak Anwar bersumpah di mahkamah sekiranya benar beliau tidak pernah meliwat Saiful Bukhari Azlan.
Tindakannya itu mendapat perhatian penyokong Anwar yang kemudiannya bertindak liar membulinya di luar pekarangan Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Ditanya tidakkah dia takut dengan provokasi melampau daripada penyokong Anwar, Huzaifah berkata, “Kenapa kita nak gadaikan pendirian kerana benda yang salah?
“Saya datang kerana Allah, saya tak nak tengok orang Malaysia bergaduh kerana taksub dengan mana-mana pemimpin.”
Huzaifah turut menafikan dakwaan dia dibayar oleh mana-mana pihak untuk hadir dalam perhimpunan tersebut.
Seramai kira-kira 1,000 penyokong Anwar berkumpul di luar pekarangan Mahkamah Persekutuan, hari ini bagi mendengar keputusan rayuan terakhir kes liwat Anwar terhadap bekas pembantunya, Saiful Bukhari.
Mahkamah bagaimanapun telah memutuskan sebentar tadi bahawa rayuan ketua pembangkang itu ditolak sekaligus dijatuhkan hukuman bersalah atas pertuduhan tersebut.
Pengumuman ini mencetuskan suasana tegang di pintu belakang Istana Kehakiman apabila penyokong Anwar mulai berkumpul beramai-ramai dan bersorak ‘Reformasi’.
Susulan itu, petugas keselamatan dilihat bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Hukuman yang bakal diterima Anwar bakal diketahui jam 1 petang ini lapor My News Hub.
0 comments:
Post a Comment