Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 12, 2015

BENTONG : JAMBATAN SUNGAI BENTONG MASIH KUKUH


MEMBANTU BERSIHKAN LUMPUR...
Dato' Sri DiRaja Adnan yang diiringi Dato' Sri Liow, turut meluangkan masa melawat
beberapa kawasan terjejas banjir di sekitar Bentong, sambil membantu mana yang mampu.


Struktur Jambatan Sungai Bentong dekat Kampung Baharu di sini, masih kukuh, demikian kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang melawatinya tengah hari Ahad, 11 Januari.

Kata-kata ini diberikannya ekoran penilaian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mendapati kerosakan hanya membabitkan jalan penghubung ke jambatan, dan bukan strukturnya. 

Kerja baik pulih kerosakan akibat hakisan tanah kini katanya, sedang giat dilakukan dan dijangka selesai dalam tempoh dua (2) hari, sebelum dibuka kepada hanya penunggang motosikal dan pejalan kaki, dengan kawalan polis 24 jam.

“Mereka yang melalui jambatan ini (nanti) dinasihat untuk berhati-hati,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan meninjau ke jambatan ini yang juga terletak berhampiran pejabat Kastam DiRaja Malaysia (KDM) cawangan Bentong. 

Sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan mempengerusikan mesyuarat tentang kerosakan jambatan itu bersama-sama Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Liow Tiong Lai, yang juga Ahli Parlimen Bentong.

Yang turut hadir ialah Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas Negeri, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi ABdul Razak; serta, Ketua Penolong Pengarah Kanan JKR Pahang, Ir Mansor Ibrahim, dan Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor.

Dato’ Sri DiRaja Adnan menambah kata bahawa ketika ini, jumlah kos untuk membaiki kerosakan kepada jambatan yang berusia 40 tahun ini, masih dalam penilaian.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri telah mengarahkan agar kemudahan perkhidmatan bas 'shuttle' disediakan bagi memudahkan pengangkutan penduduk tempatan khususnya Kampung Baharu, untuk ke pusat bandar Bentong.

“Perkhidmatan bas ini akan menunggu di seberang jambatan, dan akan melalui kawasan-kawasan utama seperti sekolah, pasar, kedai, balai polis, hospital dan klinik,” katanya lagi.

Dato’ Sri Liow yang turut ditemui pemberita, menasihati penduduk Bentong untuk tidak mempercayai khabar angin kononnya jambatan ini runtuh, sebaliknya, banjir yang melanda semalam hanya menyebabkan hakisan di tebing sungai yang berhubung dengan jambatan ini.


0 comments:

share2