Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 9, 2014

SOKONG IDEOLOGI IS TETAP SALAH DI SISI ISLAM


Datuk Seri Jamil Khir Baharom


Kuala Lumpur - Apa jua pertubuhan yang menyokong perjuangan dan ideologi kumpulan militan Negara Islam (IS), tetap bertentangan dengan ajaran Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau menarik perhatian bahawa perkara berkenaan adalah selaras keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Oktober lepas.

"Mereka telah putuskan bahawa kita bukan hanya menyebut pasal nama sahaja, sebab dahulu pun, dia bermula dengan ISIS (Islamic State of Syria and Iraq), tetapi tukar kepada Islamic State of Syria dan Islamic State of Iraq kemudian, bila masing-masing ada ketua sendiri.

Jadi kalau nama apa sekali dia guna pakai, kalau tidak memenuhi kriteria pertahankan agama, negara dan juga kedaulatan, maka dia tidak termasuk dalam bab berkaitan jihad," katanya kepada sidang media selepas merasmikan Seminar Waqaf Antarabangsa 2014, di sini, semalam.

Muzakarah Majlis Fatwa berpandangan seruan jihad atau mati syahid yang dipegang IS adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran berikutan ideologi kumpulan itu yang berpaksikan keganasan, bersifat militan dan sikap mereka yang mengkafirkan orang yang tidak sehaluan selain turut menghalalkan darah sesama umat Islam.

Akhbar harian berbahasa Melayu hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 15 kumpulan militan menyokong perjuangan IS di seluruh dunia, termasuk tiga yang disyaki menyusup ke negara ini.

Kumpulan terbabit dikatakan menjenamakan semula nama gerakan mereka bagi mengaburi pihak berkuasa serta memudahkan mereka merekrut anggota baharu.

Jamil Khir menegaskan pertukaran nama kumpulan tetap tidak akan menghalalkan perjuangan mereka.

Dalam hal ini, beliau berkata kementeriannya akan berterusan menangani kumpulan militan sedemikian dengan kerjasama kementerian-kementerian lain yang berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat pada 26 November lepas turut meluluskan usul Kertas Putih 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)', dengan jaminan kerajaan mewujudkan undang-undang baharu bagi menangani kegiatan kumpulan itu akan memberi penekanan terhadap aspek pencegahan dan pembanterasan.

Dalam perkembangan lain beliau menarik perhatian, seminar Waqaf berkenaan yang dihadiri peserta industri dan pelajar universiti dalam dan luar negara, mampu menjadi pemangkin ke arah institusi waqaf yang lebih baik bagi negara.

Seminar tiga hari bermula hari ini dengan tema 'Transformasi Pengurusan Waqaf: Pemangkin Sosio Ekonomi Ummah' dihadiri kira-kira 500 peserta dengan anggota panel dari serata dunia termasuk Turki, India, Bosnia, Mesir, Thailand dan Singapura.

0 comments:

share2