Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 6, 2014

RAUB : PAPAN TANDA TANAH KUBUR SELALU HILANG

Syukri bersama papan tanda yang dipasang semula dalam gotong-royong melibatkan pelbagai agensi di tanah perkuburan terbabit sebelum kejadian papan tanda terbabit hilang tidak lama selepas itu.



Penduduk Kampung Sungai Lui kesal papan tanda Tanah Perkuburan Islam Bukit Ceria Kampung Sungai Lui sering sahaja dicabut dan dicuri.

Kejadian terbabit merupakan kejadian kali keempat berlaku dalam tempoh lebih kurang sebulan papan tanda terbabit dipasang.

Penduduk, Mohd Syukri Addenan, 24, berkata, dalam tiga kejadian sebelum ini, papan tanda terbabit hanya dicabut dan dibuang ke dalam semak.

“Kali ini bukan sahaja papan tanda itu dicabut, malah ia turut dicuri.

"Perkara ini menimbulkan kekesalan kepada kami dan membuatkan kami berasa putus asa untuk memasang semula papan tanda baharu,” katanya.

Tambahnya lagi, dia tidak tahu apakah motif sebenar papan tanda tersebut dicabut.

“Papan tanda itu dipacak di dalam kawasan tanah perkuburan dan ia juga merupakan tanah perkuburan yang sudah pun diluluskan oleh pihak berwajib, bukan tanah perkuburan haram,” katanya.

Menurutnya lagi, papan tanda tanah perkuburan itu merupakan sumbangan sebuah syarikat swasta.

“Baru sahaja kami memasang semula papan tanda terbabit dalam satu program gotong-royong bersama agensi-agensi kerajaan minggu lepas, tidak lama selepas itu, kami lihat ia dicabut semula, malah kali ini ia terus hilang,” katanya.

Katanya lagi, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Kampung (JKKK) Sungai Lui telah melaporkan perkara terbabit kepada pihak berwajib justeru beliau meminta pihak tersebut menjalankan siasatan tentang perbuatan khianat terbabit.

Syukri berkata, sebagai penduduk kampung, mereka sudah buntu untuk mencari siapakah dalang di sebalik perbuatan khianat terbabit.

“Kami tidak tahu siapakah dalang perbuatan ini, malah kami juga enggan menuduh sesiapa tanpa usul periksa kerana bimbang akan memburukkan lagi keadaan.

“Namun kami harap pihak berwajib dapat mencari dalang tersebut agar isu papan tanda dicabut ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Syukri bersama papan tanda yang dipasang semula dalam gotong-royong melibatkan pelbagai agensi di tanah perkuburan terbabit sebelum kejadian papan tanda terbabit hilang tidak lama selepas itu.





0 comments:

share2