Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 7, 2014

KES LIWAT: TUNGGU TARIKH KEPUTUSAN


liwat anwar


Putrajaya - Keputusan rayuan akhir Ketua Pembangkang, Datuk Sri Anwar Ibrahim terhadap sabitan bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya ditangguhkan pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan itu selepas selesai mendengar hujahan akhir Peguam Utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram selepas lapan hari mendengar perbicaraan rayuan.

Anwar Ibrahim mencabar keputusan Mahkamah Rayuan mensabitkannya bersalah meliwat bekas pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan lapan tahun lalu.

Anwar, 67, diwakili 14 orang barisan peguam dengan empat daripada berhujah mengambil masa tiga hari.

Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik mengetuai pihak pendakwa raya juga mengambil masa tiga hari untuk menghabiskan hujahan.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mendengar rayuan berkenaan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap ketua pembangkang itu yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas, selepas ia meminda
keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar.

Empat hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara Kondominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Rayuan pendengaran, pada mulanya ditetapkan dua hari bermula 28 Oktober telah berlarutan sehingga lapan hari kerana kedua-dua pihak mengemukakan hujah yang panjang lebar.

0 comments:

share2