Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 7, 2014

GOPI NAFI TERIMA TAWARAN 200 RIBU JDT

Satu laman FB mendakwa Gopinathan ditawar bayaran RM200,000 jika sertai JDT.


PEMAIN lincah Tok Gajah, R Gopinanthan menafikan menerima tawaran sehingga RM200,000 sebulan daripada naib juara Piala Malaysia 2014, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menyarung jersi pasukan itu bagi tahun depan.

Kelmarin, sebuah laman sosial Facebook melaporkan JDT bakal menawarkan kontrak terbesar kepada pemain tengah Pahang itu dengan tawaran gaji yang cukup lumayan.

Bagi Gopinathan, dia menafikan ada menerima tawaran gaji lumayan daripada pasukan itu sebaliknya merendah diri bahawa dirinya masih belum layak menerima gaji sehingga jumlah tersebut.

“Saya masih belum layak menerima tawaran selumayan itu, siapalah saya untuk dibandingkan mana-mana pemain. Masih banyak lagi untuk belajar,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Menggunakan nombor jersi 24, aksi lincah dan kepantasannya berjaya meletakkan dirinya sebagai Pemain Terbaik Asia Tenggara untuk minggu ini.

Ketika ditanya masa depan untuk saingan Liga Malaysia musim depan, anak jati Pahang itu masih belum membuat sebarang keputusan muktamad.

“Saya sudah menerima tawaran daripada enam pasukan setakat ini dan saya masih meneliti sebelum membuat keputusan muktamad.

“Memang perlu fikirkan untuk masa depan dan akui sayangkan pasukan Pahang yang telah menaikkan nama saya sehingga ke tahap ini,” katanya.

Gopinathan mula melaporkan diri bersama skuad kebangsaan di Padang Seri Gelam, Johor Baharu kelmarin bersama 25 pemain lain untuk persiapan kempen Piala AFF di Singapura bermula 23 November ini.







0 comments:

share2