Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 22, 2014

TERPAKSA MANDI AIR HUJAN


Othman menunjukkan kayu pokok yang digunakan untuk menjadi tiang di tengah rumahnya.


Kuala Nerang - Seorang bapa tunggal yang tinggal bersama anak kurang upaya (OKU) memohon sumbangan orang ramai bagi membaiki rumah mereka di Kampung Nai Teh, Mukim Padang Temak, dekat sini.

Othman Taha, 67, berkata, dia dan anaknya, Abd Halim Othman, 33, memerlukan bantuan rumah supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih sempurna.

Katanya, dia tidak mampu membaiki rumahnya itu kerana menghadapi masalah kewangan serta tangannya patah selepas kemalangan jalan raya tempoh hari.

"Saya tidak mampu bekerja lagi dan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan anak saya pula mendapat sebanyak RM150. Dengan bantuan sebanyak itu, bagaimana saya hendak baiki rumah yang menunggu runtuh ini?

"Melalui bantuan dari JKM itulah saya buat perbelanjaan harian serta mengubati anak saya yang dikatakan menghadapi masalah pendengaran dan terpaksa dibimbing untuk berjalan serta matanya semakin kabur," katanya.

Othman berkata, beberapa tiang rumahnya perlu diganti kerana dimakan anai-anai hingga struktur binaannya semakin goyah dan mereka terpaksa keluar setiap kali ribut.

Katanya, dia dan anaknya terpaksa bermalam di pondok belakang rumah pada waktu malam kerana bumbung yang bocor serta keadaan rumahnya yang bergoyang selepas ditiup angin.

“Saya sudah beberapa kali memohon bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan untuk membina atau membaiki semula rumah yang berusia hampir 15 tahun sumbangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) ini.

"Atas simpati rakan, mereka telah membantu dengan menukar tiang kayu asal yang reput dengan tiang kayu pokok kerana bimbang keselamatan kami dua beranak,” katanya.

Othman berkata, kehidupannya semakin perit apabila bekalan elektrik dan air juga dipotong selepas dikatakan gagal membayarnya.

Kini, mereka terpaksa menggunakan pelita setiap malam bagi menerangi rumah.

“Kadang kala kami dua beranak terpaksa makan malam pada waktu petang kerana bimbang anak saya tercekik tulang. Ketiadaan lampu pada waktu malam sangat terasa apabila susah untuk bergerak ke tandas.

"Kami juga terpaksa mandi menggunakan air yang ditadah setiap kali hujan dan kadang kala rasa gatal-gatal, tetapi apakan daya, hanya itulah yang saya mampu,” katanya.

Oleh itu, dia berharap ada pihak yang simpati dengan kehidupannya itu dan dapat menghulurkan bantuan supaya dapat menjalani kehidupan lebih sempurna.

0 comments:

share2