Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 24, 2014

PEKAN : PEMERAN BIOGRAFI SULTAN AHMAD SHAH



PEKAN - Lembaga Muzium Negeri Pahang menganjurkan pameran biografi Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sempena memuliakan sambutan 40 tahun pemerintahan baginda.

Pameran di Muzium Sultan Abu Bakar di sini adalah sebagai penghargaan lembaga itu kepada institusi beraja di Pahang yang telah banyak menyumbang terhadap perkembangan muzium berkenaan sejak ia dibuka pada tahun 1976.

Berangkat mencemar duli merasmikan pameran itu Sultan Ahmad Shah bersama Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom di muzium berkenaan di sini malam ini.

Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis itu yang juga dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bersama isteri, Datin Seri Junaini Kassim.

Adnan berkata, pameran ini antara lain adalah untuk memberitahu masyarakat kepentingan dan sumbangan institusi beraja dalam pembinaan asas masyarakat seterusnya melindungi warisan negara dalam arus pemodenan.

"Selain itu ia dapat memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk mengenali, mengunjungi serta mendekatkan diri kepada bahan-bahan kepentingan sejarah," katanya ketika berucap di majlis perasmian itu.

Beliau berkata sepanjang pemerintahan baginda selama 40 tahun, Pahang telah mencapai perkembangan dan kemajuan dalam pelbagai bidang seperti infrastruktur, kesihatan dan sukan.

Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur dan hospital di seluruh daerah di sini dan kejayaan sukan terutama bola sepak dapat direalisasikan semasa pemerintahan baginda, katanya. 

Pada majlis itu Sultan Ahmad Shah menerima buku biografi baginda bersempena hari keputeraan yang ke-84 tahun dan memotong kek ulang tahun keputeraan hadiah daripada Lembaga Muzium Negeri Pahang.





0 comments:

share2