KUALA LUMPUR: Bekas Ketua PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard hari ini mempertikai 'keistimewaan' yang diterima Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di dalam parti itu sendiri.
Dengan mengambil situasinya yang digantung keahliannya kerana mendedahkan penyelewengan pemilihan parti yang berkait dengan Azmin, Menteri Besar Selangor itu dilihat lebih disayangi di dalam situasi yang disifatkan sama dengannya.
"Saya jawab tuduhan dengan menggunakan media dan digantung. Apabila anggota bawahan menggunakan media dianggap salah.
"Tetapi apabila Azmin menggunakan media dan menyerang Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ... tiada sebarang tindakan dibuat.
"Kalau hendak ambil tindakan ke atas saya, sila ambil tindakan kepada Azmin dahulu," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Chegubard yang juga Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan sebelum ini memegang banyak jawatan di dalam parti termasuk Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Exco Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Dalam pada itu, kemelut pertukaran MB Selangor turut dilihat berpunca daripada Azmin sendiri.
"Memang sejak awal dia impikan jawatan itu, dia yang menyusun sentimen mempertikaikan pentadbiran menteri besar sebelum ini.
"Azmin yang menggunakan media dan memulakan serangan peribadi kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melobi untuk jawatan itu," ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Chegubard turut meminta Azmin menjelaskan penarikan sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) Selangor daripada Wan Azizah.
"Masing-masing menarik sokongan dan dikatakan taat kepada pilihan Sultan Selangor.
"Maka muncul persoalan, siapa yang berusaha menyediakan ikrar sumpah baru yang termasuk dalam usaha lobi Azmin menjadi MB?" jelasnya.
0 comments:
Post a Comment