Bentong - Baru sahaja ditimpa bencana ribut sekitar dua minggu lalu, kali ini Felda Lurah Bilut, dekat sini dilanda banjir kilat pula sehingga mengakibatkan bah setinggi hampir 1.2 meter.
Sebanyak 11 kuarters guru SMK Lurah Bilut, tiga rumah peneroka Kampung Melayu Lurah Bilut, tujuh rumah penduduk Cina, Klinik Kesihatan Felda Lurah Bilut terjejas dan 10 kereta ditenggelami air.
Penghulu Kuarters Guru SMK Lurah Bilut, Mustapha Hamli berkata, kejadian itu banjir terburuk pernah berlaku di kawasan terbabit.
Mustapha yang kini berada di Mekah bagi mengerjakan haji terkejut dimaklumkan kejadian terbabit oleh ahli kuarters tersebut.
“Pada tahun 2004 pernah berlaku banjir besar namun tidak seperti yang berlaku awal pagi semalam di mana air pada waktu itu hanya setinggi lantai kereta Kancil sahaja.
“Kali ini saya dapat tahu air deras naik hingga setinggi 1.2 meter sehingga menghanyutkan beberapa kereta,” katanya.
Mustapha berharap ahli kuarters yang terjejas dalam kejadian terbabit sentiasa tabah menghadapi bencana alam yang menimpa mereka.
Sementara itu, Pengerusi Combi Felda Lurah Bilut, Md Zulkifle Md Yunus berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 pagi.
“Hujan lebat sekitar jam 12 tengah malam dan air mula naik kira-kira dua jam selepas itu.
“Kejadian berlaku terlalu pantas, akibatnya penduduk tak sempat nak selamatkan barang mereka,” katanya.
Katanya lagi, air mula surut sekitar jam 4 pagi dan penduduk yang terjejas mula melakukan kerja membersihkan kediaman masing-masing dibantu penduduk setempat.
Md Zulkifle berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Kampung (JKKK) turut membantu membersihkan kediaman yang terjejas.
0 comments:
Post a Comment