Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 4, 2014

KUANTAN: DICEKUP SELEPAS SETENGAH JAM BERAKSI


Aziz (kiri) dan Timbalan Ketua Polis Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad menunjukkan
barang rampasan hasil rompakan kedai serbaneka 24 jam, semalam.

Kuantan - Kepantasan polis bertindak dalam tempoh setengah jam selepas menerima maklumat berjaya memberkas seorang lelaki yang baharu selesai merompak kedai serbaneka 24 jam di Semambu, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya berjaya menangkap lelaki terbabit kira-kira jam 5.30 pagi di Lorong Kubang Buaya, dekat sini sekali gus membantu mendapatkan maklumat lain berkaitan kes rompakan kedai serbaneka yang turut berlaku di Chengal Lempong, Berserah, pada hari sama.

“Kejadian rompakan tersebut melibatkan dua lelaki berusia lingkungan 20an namun seorang daripadanya berjaya meloloskan diri.

“Bagaimanapun, suspek terbabit telah dikenalpasti dan dikenali sebagai Geng Balok.

“Menerusi tangkapan tersebut, pihak kami turut membuat rampasan wang tunai bernilai kira-kira RM65, rokok, penutup muka, topi, gari dan sebuah motosikal jenis Honda EX5,” katanya.

Dalam pada itu, Aziz berkata, dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Produa Kancil berusia 20 an ditahan di Jalan Gambang dipercayai telah merompak kedai serbaneka di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Indera Sempurna dan Batu 9, dekat sini, Sabtu lalu.

Menurutnya, semasa tangkapan dilakukan, mereka baru sahaja selesai merompak kedai berkenaan kira-kira jam 6 petang.

“Susulan tangkapan itu, barangan seperti curut, wang tunai kira-kira RM150 dan pisau serta parang turut dirampas.

“Lima lagi rakan mereka berumur lingkungan 18 hingga 22 tahun turut ditahan di Jaya Gading dan dikenali sebagai Geng Jaya Gading yang aktif merompak selepas Hari Raya serta menjadikan kedai serbaneka 24 jam sebagai sasaran.

“Bagi kesemua lapan tangkapan yang dilakukan, mereka didapati positif dadah iaitu jenis pil kuda dan boleh didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Merbahaya dan juga atas kesalahan merompak bersenjata di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu katanya, memandangkan kedai serbaneka 24 jam sering menjadi sasaran rompakan, pihak pengurusan disaran meningkatkan langkah pencegahan dan keselamatan.

“Pihak kami sudah pun berbincang dengan pengusaha dan mencadangkan agar mereka membuka kaunter sahaja untuk urusan jual beli selepas jam 2 pagi.

“Melalui cara ini, mereka masih lagi boleh menjalankan perniagaan yang lebih selamat,” katanya.

0 comments:

share2