Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 16, 2014

ISU MB SELANGOR BERMULA KECIL


Dr Mohd Hatta Mohd Ramli

Kuala Lumpur – Kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor sebenarnya hanya perkara kecil dan tidak sepatutnya diperbesarkan.

Ketua ​Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, konflik melibatkan Pas dan PR tidak akan timbul jika Pas turut bersetuju dengan pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak awal.

“Isunya kecil sahaja pada mulanya, iaitu menukar menteri besar. Bukannya perkara ini tidak pernah berlaku di negara kita.

“Sepatutnya isu ini sudah lama selesai kalau kita (Pas) bersetuju untuk menukarkan penyandang jawatan tersebut dengan calon yang dicadangkan,” katanya dalam sesi soal jawab “Kemelut MB Selangor: Mampukah PR Bertahan?" yang dianjur oleh Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), semalam.

Konflik bermula apabila PKR mendesak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar melepaskan jawatan dan digantikan dengan Wan Azizah.

Abdul Khalid akhirnya dipecat dari PKR kerana keengganannya untuk berundur dari jawatan menteri besar, yang mana ia memberi tekanan kepada seluruh komponen PR.

Dalam pada itu, Pas pula secara terang-terangan menolak Wan Azizah dari dinamakan calon bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Wan Azizah bukan seorang calon yang layak untuk mentadbir negeri Selangor kerana beliau lemah dari segi kepimpinannya.

Menurut beliau, hasrat untuk menukar Menteri Besar Selangor bermula dengan rasa tidak setuju dengan kepimpinan Abdul Khalid .

Dakwanya, Abdul Khalid telah membuat pelbagai janji dan memungkiri janji-janjinya sehingga membantutkan kelancaran jentera parti-parti di negeri tersebut.

“Ini merosakkan komponen PR, kita perlu bertindak sama ada lakukan pemantauan terhadapnya atau tukar sahaja menteri besar, “ katanya lagi.

Jelas beliau lagi, konsep dua lawan satu antara Pas, PKR dan DAP menyukarkan lagi proses pertukaran menteri besar.

“Benda mudah jadi susah.. Kalau proses pertukaran itu didukung ketiga parti dalam PR pada awalnya, Abdul Khalid pasti sudah menunjukkan kesediaan untuk ditukar.

“Tapi bila beliau (Abdul Khalid) tengok ruang kecil yang dihasilkan dari pertelagahan antara PR, beliau tetap berdegil dan tidak mahu lepaskan jawatannya,” ujarnya.

0 comments:

share2