Kota Tinggi - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kuasa sebagai ketua untuk membuat keputusan sendiri tanpa merujuk mana-mana ahli mesyuarat.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, hak itu boleh berlaku dalam beberapa keadaan yang mendesak.
"Saya lihat kenyataan-kenyataan seperti ini terlalu banyak dari peguam-peguam.
"Pada saya, memang sebagai seorang ketua...Presiden, dia ada hak dalam keadaan tertentu untuk membuat keputusan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas selesai majlis perasmian Muktamar Pemuda Pas, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan seorang peguam Pas, Zulhazmi Sharif yang menyebut bahawa Abdul Hadi tidak mempunyai kuasa veto untuk bersuara bagi membuat apa-apa keputusan mengenai pencalonan Menteri Besar Selangor tanpa melakukan perbincangan dengan ahli pimpinan parti lain.
Katanya, segala keputusan yang melibatkan kepentingan parti mesti dibincang melalui mesyuarat dan diputuskan bersama.
Sementara itu, menurut Nasruddin berdasarkan pengalamannya menjadi ketua, memang wujud saat di mana beliau perlu membuat keputusan sendiri.
"Memang saya sudah alami pengalaman... apabila kita menjadi ketua memang akan ada detik dan ketika tertentu untuk membuat keputusan segera. Maka dia (ketua) ada peruntukan dipanggil kuasa pemutus untuk menentukan tanpa menafikan keperluan mesyuarat
"Mesyuarat juga menjadi satu keperluan dalam berbincang dengan ahli jawatankuasa mesyuarat untuk membuat keputusan," katanya.
Namun, jelasnya, bukan semua keadaan seorang ketua itu membuat keputusan sendiri.
"Bukanlah maknanya semua keadaan ketua buat keputusan sendiri. Pada keadaan tertentu yang memerlukan tindakan segera. Nak panggil seluruh ahli jawatankuasa mesyuarat dari seluruh negara memerlukan masa.
"Sebab itu ada hadis nabi yang memperingatkan supaya kita taat kepada pemimpin. Walaupun dia seorang hamba. Ertinya ada klausa itu di situ," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan mempertikai keputusan yang dibuat Presiden itu tidak wajar berlaku.
"Saya kira tak patutlah apabila Presiden buat keputusan dipertikai, yang saya kenal sejak saya terlibat (Pas), tidak banyak pun dia buat keputusan sendiri. Hanya satu atau dua kes saja. Sekali dia buat tindakan begitu, mengambil peruntukan dan hak yang dia ada, saya kira itu suatu kebiasaan dalam sebuah parti," katanya.
0 comments:
Post a Comment